Adakah normal untuk mengalami keputihan? Sudah tentu. Pelepasan faraj bukanlah sesuatu yang perlu anda bimbangkan. Malah, ia sesuatu perkara yang baik.

Keputihan berwarna putih adalah cara badan anda mengekalkan kebersihan. Ia dihasilkan secara semula jadi dari pangkal rahim yang dikenali sebagai serviks, dan jumlah keputihan berbeza sepanjang kitaran haid anda. Kebanyakan wanita mengalami keputihan sejurus sebelum kedatangan haid.

Tidak pasti jika keputihan anda normal? Selagi ia jernih, berwarna putih atau kuning pucat dan tidak berbau begitu ketara, anda tidak perlu risau. Jika anda mahu memastikan seluar dalam anda kekal kering, atau jika anda tidak suka memakai seluar dalam yang lembap, anda boleh menggunakan lapisan pad yang nipis. Tetapi jika keputihan mula berbau lebih daripada biasa atau warnanya berubah kepada warna kuning atau hijau yang lebih pekat atau jika jumlahnya lebih daripada biasa, jumpalah doktor anda. Anda mungkin terkena jangkitan.

Secara beransur-ansur anda akan sedar apa yang normal bagi anda apabila keputihan anda berubah secara semula jadi sepanjang kitaran anda. Ini akan membantu anda mengenal pasti dan menanganinya jika berlaku keputihan yang luar biasa. Dan jika anda berasa risau, berbincanglah dengan doktor atau jururawat sekolah anda.

Faraj boleh membersih secara semula jadi, jadi tidak perlu membersihkan bahagian dalamannya (digelar sebagai ‘sembur cuci’). Malah, ia sebenarnya bukan satu idea yang baik. Sembur cuci boleh menjejaskan keseimbangan semula jadi bakteria dalam faraj anda dan membawa kepada keadaan yang tidak menyenangkan seperti jangkitan kandida atau vaginosis bakteria. Menggunakan sabun, mandian berbuih dan gel mandian dengan haruman juga boleh menyebabkan pelepasan faraj. Jadi, jangan sekali-kali membersihkan faraj anda dengan sesuatu yang mempunyai haruman yang kuat. Gunakan sabun yang lembut dan air suam untuk mengekalkan kebersihan dan bebas daripada jangkitan.