Imej seorang ibu dan anak gadisnya berbual sambil berbaring di atas lantai - Libresse

Kita semua pernah mengalaminya, tetapi kebanyakan daripada kita memerlukan nasihat tentang cara untuk membantu anak gadis kita menempuhi akil baligh. Dari hormon yang bergolak hingga payudara yang sedang membesar, inilah cara untuk berbincang, menyokong dan membimbingnya melalui pengalaman yang baik dan buruk.

Pengetahuan itu memperkasakan

Anda tidak perlu menunggu sehingga anak anda mula mengalami akil baligh untuk bercakap mengenainya. Semakin banyak anda menerokai fakta kehidupan bersama – dari menamakan bahagian tubuh hingga membincangkan hubungan seks dan hubungan – semakin ia menjadi perkara biasa dan mengurangkan tabu topik ini.
 
Perbincangan boleh bermula dari situasi harian, jadi ambillah kesempatan daripada peluang tersebut yang membolehkan anda membuka jalan untuk memulakan perbualan secara semula jadi. Anda mungkin bertukar baju di hadapan anak perempuan anda apabila dia bertanya: ‘Kenapa buah dada anda lebih kecil daripada Makcik X?’, atau apabila meletak tuala wanita di bakul membeli-belah anda dan dia bertanya: ‘Mengapa lelaki tidak memerlukannya?’.  Soalan-soalan ini yang tercetus daripada sifat ingin tahu anak anda akan membolehkan anda berbual secara jujur.
 
Apabila anda mula membiasakan diri bercakap secara terbuka, anak anda akan menjadi biasa dengan fakta-fakta tersebut, jadi dia tidak akan mendapati pengalaman peribadi akil balighnya menakutkan. Sebaliknya, dia akan menganggapnya sebagai suatu peringkat hidup yang semula jadi. 

Akil baligh bermula lama sebelum haid pertama seseorang gadis

Ia kadang-kadang sukar untuk mengenal pasti tanda-tanda terawal akil baligh kerana ia bukan selalu jelas. Tetapi memahami betapa besar kesan pengaruh peralihan dari zaman kanak-kanak ke remaja terhadap cara anak anda rasa, lihat dan berkelakuan adalah penting jika anda ingin memberi sokongan yang bermakna.
 
Tempoh akil baligh biasanya bermula antara umur 10 dan 16 tahun untuk gadis,  dan boleh berakhir dalam masa kira-kira 18 bulan, atau berlanjutan selama beberapa tahun. Haid biasanya bermula beberapa tahun selepas akil baligh bermula. Kami telah menyediakan satu artikel mengenai cara memastikan anak perempuan anda bersedia untuk haid pertamanya di sini dan satu lagi untuk remaja di sini, yang meliputi segalanya dari aliran darah haid pertama hingga ke PMS.
 
Anda mungkin ingin berjumpa seorang doktor jika anda merasa bimbang mengenai perkembangan anak perempuan anda yang anda dapati tidak dianggap ‘normal’ (dan apa yang dianggap ‘normal’ itu tidak konsisten, jadi ia agak sukar untuk memastikannya). Jangan buat anak perempuan anda bimbang tanpa sebab dengan komen seperti, ‘Saya rasa itu tidak betul!’ sebelum anda menyelidik, atau berbincang dengan seorang profesional perubatan.  
rahim ibu anda.

Adakah buah dada tanda pertama akil baligh?

Pembentukan payudara ialah perkara pertama yang kelihatan untuk tiga perempat gadis. Ia normal untuk satu puting mula tumbuh sebelum yang lain, jadi jangan risau jika ini berlaku pada anak perempuan anda. Sebagai seorang dewasa, anda mungkin mengesan terdapat sedikit perbezaan antara buah dada anda (sememangnya, perkara yang semula jadi jarang mengikuti peraturan simetri).

Tanda-tanda lain yang menunjukkan bahawa akil baligh sedang berkembang sepenuhnya ialah bulu kemaluan, pertumbuhan yang pesat dan jerawat. Kami telah menulis satu artikel untuk para remaja tentang apa yang patut dijangka (dan bila) di sini, yang berguna jika anda perlukannya juga. 

Tubuh anak perempuan anda akan semakin montok, dan besar kemungkinan berat badannya akan meningkat. Pastikan untuk memberitahu anak anda bahawa ini adalah perubahan yang positif, kerana anak perempuan anda mungkin mengambil masa untuk menyesuaikan diri, dan menerima apa yang sedang berlaku. Walaupun anda bermaksud baik, berhati-hati tentang cara anda mengungkapkan sesuatu. “Seluar jean itu sesuai dengan bentuk badan awak,” adalah lebih baik daripada berkata, “Wah, seluar jean itu sangat menunjuk pinggul awak yang semakin membesar.”

Meragam bukan hanya untuk kanak-kanak

Jangan terkejut jika anda mengatakan sesuatu yang langsung tidak menyakitkan hati kepada anak perempuan anda dan menyebabkan dia menangis dan berlari keluar dari bilik. Sebagai seorang dewasa, kita boleh mendapati situasi tertentu dapat mencetuskan perasaan tidak selesa. Sekarang bayangkan perasaan anak anda yang sedang menangani begitu banyak perubahan sekali gus. 

Semasa akil baligh, otak menghasilkan sel-sel baharu dan berfikir dengan cara yang berbeza. Ini membuatkan anak anda berasa hilang kawalan, tertekan dan disalahfahamkan. Kami telah menulis satu artikel di sini untuk para remaja tentang apa yang berlaku di dalam otak, dan bagaimana ini boleh mempengaruhi emosi semasa akil baligh. 

Jadi, bagaimanakah anda boleh membantu anak perempuan anda menghadapi pergolakan emosi ini? Sememangnya sukar apabila melihatnya marah atau sedih, dan ia boleh juga membuat anda keliru seperti anak anda juga. Kebanyakan ibu bapa tahu bahawa menjadi tugas ibu bapa adalah berat, tetapi mereka masih berasa yang mereka telah gagal kerana tidak dapat menyelesaikan masalah dan menceriakan emosi dengan serta-merta.

Satu soalan yang perlu dielakkan ialah: ‘Mengapa kamu berkelakuan seperti orang gila?’. Itu hanya akan menjadikan anak perempuan anda merasa lebih terpinggir, dan tidak difahami. Cuba ketahui punca kekecewaan, dan beri galakan supaya dia berkongsi perasaannya. Sekiranya anda tidak tahu apa yang hendak dikatakan, dan situasi menjadi semakin tegang, dengan tenang beri cadangan supaya anda berdua ambil masa lima minit untuk bertenang. Nyatakan dengan jelas bahawa anda bukan menghukum atau meninggalkannya.. Sebaliknya, jelaskan bahawa apa yang diperlukan ialah sedikit ruang untuk bertenang.

Imej seorang ibu dan dua orang anak perempuannya ketawa dan berseronok - Libresse

Kenal pasti perbezaan dan kongsi pengalaman

Sama seperti fesyen dan cita rasa muzik yang telah berubah sejak zaman remaja anda, begitu juga dengan perkara-perkara yang anak perempuan anda lakukan dan cara dia berkomunikasi. Jika anda ingin berkongsi apa yang anda lalui, gunakan perkataan ‘saya’ supaya anda tidak bercakap bagi pihaknya. Tunjukkan bahawa anda memahami bahawa keadaan berbeza semasa anda muda dahulu, dan amalkan sifat ingin tahu tentang perkara-perkara yang anak perempuan anda sedang tempuhi sekarang. Mudah-mudahan ini akan mendorongnya untuk menerima pengalaman dan perasaannya sendiri. 

Oleh kerana kehidupan penuh dengan kepahitan dan detik-detik manis, adalah bijak untuk berkongsi aspek positif dan negatif akil baligh, kerana itu menggambarkan realiti dan boleh difahami oleh anak perempuan anda. Sedikit jenaka mungkin boleh membantu dan mungkin merupakan cara untuk tidak berasa kekok. Jika anda ingat cerita gerun tentang coli pertama anda (Di mana anda membelinya? Bagaimana perasaannya? Bagaimana rupanya?) sila teruskan. Akil baligh mungkin merupakan perkara yang serius, tetapi masih terdapat banyak ruang untuk ketawa.

Ambil masa, luangkan masa

Ia sukar. Anda mungkin bekerja sepenuh masa, mempunyai anak-anak lain, atau mempunyai banyak komitmen – kadang-kadang kesemuanya. Walaupun anda hanya dapat mencuri sedikit masa selama sepuluh minit, ia dapat membuat perbezaan yang diperlukan terhadap sokongan yang anda berikan kepada anak perempuan anda. 

Tidak semestinya menunggu sehingga dia mula bertanya – dia mungkin sedang menunggu anda untuk memulakan perbualan yang lebih sukar. Beranikan diri. Sebahagian daripada menjadi dewasa adalah menghadapi masalah yang rumit dan tidak selesa. Walaupun anak perempuan anda kelihatan malu, keberanian anda akan berbaloi dalam jangka panjang.

Berjalan, bersiar-siar di dalam kereta, atau minum teh di meja dapur – masa untuk anda berdua sahaja tanpa diganggu – adalah sesuai. Sesetengah perkara harus dibicarakan secara peribadi, bukan kerana ia adalah perkara yang memalukan, tetapi kerana anak perempuan anda memerlukan ruang yang tenang untuk bercakap secara terbuka dan jujur.

Sekiranya terdapat soalan yang benar-benar mengelirukan anda, katakan yang anda perlu masa untuk menyelidik, atau berfikir tentangnya terlebih dahulu, sebelum memberi jawapan. Dan pastikan anda memberitahunya selepas anda mendapat jawapan. Anak perempuan anda akan lebih selesa dengan perbualan intim ini jika dia merasakan bahawa anda bersikap serius, dengan memberi jawapan yang prihatin dan bertimbang rasa.  

Jaga diri anda

Ingat, bukan anak perempuan anda sahaja yang memerlukan sokongan. Sebagai ibu bapa, anda hanya boleh melaksanakan tugas anda dengan baik jika anda tahu bagaimana untuk menjaga diri anda. Ia merupakan idea yang baik untuk berbincang dengan ibu bapa lain yang anda percayai dan kenali dengan rapat. Anda akan merasa lebih selesa apabila anda berkongsi pengalaman yang serupa di samping memberi dan mendapatkan nasihat tentang hal-hal keibubapaan yang lebih rumit.

Apabila anda berasa muram, menelefon rakan anda mungkin agak sukar, (sama seperti memberi jawapan yang lain daripada ‘Saya okay’ apabila ditanya ‘Bagaimana keadaan awak?’). Tetapi besar kemungkinan ini adalah apa yang anda perlukan. Dan jika anda menunjukkan kepada anak anda bahawa anda sering meminta sokongan dan nasihat daripada orang lain, mereka akan merasa lebih cenderung untuk melakukan perkara yang sama, dan berkongsi perkara-perkara yang mereka dapati sukar.

Kami telah menulis satu artikel untuk para remaja mengenai cara menangani akil baligh di sini. Artikel ini mengandungi banyak perkara yang kami tinjau, jadi luangkanlah masa untuk membacanya.

Terus belajar

Terus menerokai