Bagaimana kontraseptif mempengaruhi haid anda?
Ingin menukar atau memulakan kaedah kontraseptif yang baharu? Tidak pasti bagaimana kesannya terhadap anda? Di sini kami kongsikan bagaimana ia boleh mempengaruhi kitaran dan cara kedatangan haid anda.
Pil kombinasi, pil mini, gegelung berhormon, gegelung kuprum, implan, suntikan, kondom… terdapat banyak lagi kontraseptif berlainan yang orang gunakan untuk pelbagai sebab. Kontraseptif boleh digunakan untuk merawat beberapa simptom PCOS [1], mencegah kehamilan, melegakan simptom PMS bahkan melindungi daripada jangkitan penyakit kelamin (STI) [2], tetapi bagaimana kaedah kontraseptif yang berbeza-beza ini mempengaruhi kitaran dan pendarahan bulanan anda?
Kajian menunjukkan ketika menggunakan kontraseptif, wanita boleh mengalami kesan sampingan yang membabitkan kitaran haid, dari segi haid tidak teratur, pendarahan yang banyak, tompok kotoran, keputihan berwarna coklat, atau tidak datang haid langsung! Memang menakutkan jika haid anda tiba-tiba berhenti atau jika ada pendarahan yang tidak menentu di tengah-tengah kitaran haid, tetapi ingatlah ini semua adalah kesan sampingan yang biasanya tidak perlu dibimbangkan; cuma tubuh anda perlu mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan kaedah kontraseptif yang baharu dan berbeza.
Anda perlu membiasakan diri dengan mengetahui bagaimana setiap kaedah berpotensi mempengaruhi haid anda, supaya apabila ia berlaku, anda tidaklah terkejut dan boleh membezakan keadaan mana yang tidak perlu dirisaukan dan bila anda perlu membuat temujanji dengan pakar sakit puan. Begitu juga, jika anda mencari-cari kontraseptif yang baharu, pertimbangkan bagaimana kaedah yang berbeza itu boleh mempengaruhi haid anda.
Jadi, bagaimana setiap kaedah kontraseptif mempengaruhi haid saya?
Setiap kaedah kontraseptif memberi kesan yang berbeza bagi setiap orang, dan untuk memudahkan anda, kami kongsikan panduan umum berkenaan kesan sampingan haid yang lazim mengikut beberapa bentuk kontraseptif yang paling popular.
Sematkan dalam fikiran, jika anda ingin menukar atau menggunakan kaedah kontraseptif yang baharu, lebih baiklah anda berjumpa doktor atau pergi ke klinik kesihatan wanita supaya anda boleh membincangkan tentang pilihan kontraseptif dan yang lebih penting, anda mendapat nasihat yang terbaik. Lagi pun, tubuh semua orang tidak sama, jadi ambillah langkah bijak dengan mendapatkan nasihat pakar tentang pilihan yang paling sesuai untuk anda!
Pil mini dan kombinasi
Ia mungkin salah satu kaedah kontraseptif yang paling terkenal, tetapi sejauh mana anda tahu tentang cara pil ini berfungsi? Mari kita selami butiran terperincinya untuk mengetahui dengan lebih lanjut!
Pil kombinasi adalah kontraseptif oral (bermaksud anda perlu menelannya), yang mengandungi gabungan hormon estrogen dan progesteron. Ia perlu diambil setiap hari, dengan satu tempoh rehat antara paket pil seperti yang disarankan oleh doktor. Pil kombinasi ini berfungsi sebagai kontraseptif dengan menghentikan pengeluaran telur (yang dikenali sebagai ovulasi). Pil mini juga adalah kontraseptif oral, tetapi ia hanya mengandungi hormon progesteron, dan berfungsi dengan memekatkan mukus serviks untuk menyekat sperma daripada sampai ke telur [2].
Apabila mula mengambil pil atau pil mini, sesetengah orang melaporkan mereka mengalami tompok kotor atau sedikit pendarahan (pendarahan antara haid) sebagai kesan sampingan dalam beberapa bulan pertama. Tetapi ia bukan bermakna pil ini tidak berkesan! Cuma tubuh anda perlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan hormon baharu ini.
Untuk paket pil, doktor mungkin menyarankan anda supaya berehat seketika sebelum memulakan paket yang baharu. Dalam tempoh ini, tubuh anda mungkin mengalami keadaan yang dipanggil pendarahan penarikan. Walaupun ia nampak dan rasa seperti haid, tetapi pendarahan penarikan ini adalah hasil daripada perubahan hormon yang berlaku apabila anda ‘berehat’ – jadi, ia bukahlah darah haid!
Seperti biasa, dapatkanlah pandangan perubatan jika anda berasa sangat bimbang, atau sekiranya anda mengalami tompok kotor yang berterusan dalam jangka masa yang lama. Jika anda perlukan panduan untuk mengambil waktu ‘rehat’ antara paket pil, maka doktor boleh mencadangkan cara terbaik supaya anda boleh mengambil kontraseptif mengikut keperluan anda.
IUD berhormon
Doktor atau jururawat akan memasukkan gegelung berhormon ke dalam rahim anda dan ia boleh digunakan sebagai kontraseptif selama 3 hingga 5 tahun. Walaupun ia mempunyai nama berbeza yang boleh mengelirukan, namun semuanya berfungsi dengan cara yang sama – iaitu secara melepaskan hormon progesteron ke dalam rahim [3].
Semasa menggunakan gegelung berhormon, kemungkinan besar haid anda menjadi semakin sedikit, kurang menyakitkan dan mungkin terhenti. Sama ada anda berasa gelisah atau menari gembira dengan ketiadaan haid, ia adalah kesan sampingan yang sangat lazim dalam kaedah ini dan bukan bermakna ada sesuatu yang tidak kena atau kontraseptif ini tidak berfungsi.
Kesan sampingan ini berlaku disebabkan kehadiran hormon progesteron pada gegelung yang mengawal lapisan rahim dengan menjadikannya semakin nipis. Jadi, apabila masa haid tiba, lapisan ini terlalu sedikit atau tiada untuk dikeluarkan sebagai haid [3]. Malah anda juga mungkin mengalami pendarahan rawak dalam beberapa bulan pertama gegelung dimasukkan, sehinggalah tubuh anda secara beransur-ansur dapat mengawalatur hormon baharu ini.
Implan kontraseptif
Jika anda berasa kurang selesa dengan kemasukan alat kecil di dalam rahim, apa kata jika ia disusupkan di bawah kulit lengan? Ia boleh dilakukan dengan implan kontraseptif. (Jangan risau, ia bukan sejenis peranti penjejak futuristik!)
Implan kontraseptif adalah alat yang disusupkan ke lengan anda oleh doktor atau jururawat dan boleh digunakan sehingga 3 tahun. Implan ini berfungsi sebagai kontraseptif dengan melepaskan hormon progesteron, yang memekatkan mukus serviks dan menghalang sperma daripada mendekati telur [5].
Seperti gegelung berhormon, implan ini juga menipiskan lapisan rahim, menjadikan haid sedikit atau tiada langsung. Sekali lagi ditegaskan, ini adalah perkara normal dan ia hanyalah kesan sampingan kepada kaedah kontraseptif ini.
Suntikan kontraseptif
Suntikan kontraseptif boleh diberikan setiap 8 hingga 13 minggu (bergantung kepada jenama) dan ia berfungsi sebagai kontraseptif dengan melepaskan hormon progesteron [6]. Jika disebut jarum suntikan sahaja sudah membuatkan anda terasa ngeri, rasanya ada kemungkinan anda melangkau tajuk ini untuk terus ke bahagian seterusnya!
Haid yang tidak teratur dalam beberapa bulan pertama mengambil suntikan adalah perkara normal, tetapi apabila tubuh anda sudah menyesuaikan dirinya dengan hormon ini, haid anda akan menjadi sedikit atau tiada langsung.
IUD kuprum
Tidak berminat dengan kaedah berhormon? Anda ada pilihan lain iaitu IUD yang bebas hormon! Mari kita ketahui lebih lanjut mengenainya.
Kuprum dalam rahim saya? Kami tahu ia kedengaran aneh dan menimbulkan rasa kurang selesa tetapi IUD kuprum adalah pilihan yang sangat popular kerana ia merupakan kaedah kontraseptif tanpa hormon – dan jangan risau, anda tidak akan dapat merasakannya juga!
Gegelung kuprum adalah IUD (alat dalam rahim) yang juga dimasukkan ke dalam rahim anda oleh doktor atau jururawat, dan boleh digunakan sebagai kontraseptif sehingga 10 tahun atau sehingga ia dikeluarkan. Ia berfungsi dengan melepaskan kuprum ke dalam rahim, yang menghasilkan reaksi keradangan dan meneutralkan sperma dan telur [3].
Tidak seperti pil kombinasi, gegelung kuprum tidak menghentikan ovulasi, jadi anda akan mempunyai “haid sebenar” dan ovulasi turut berlaku. Anda boleh mengalami pendarahan haid yang banyak dan lebih menyakitkan dengan penggunaan gegelung kuprum ini dalam 3 hingga 6 bulan pertama. Walaupun sebab sebenar pendarahan yang banyak ini tidak diketahui, kajian menunjukkan bahawa apabila gegelung kuprum dimasukkan, berlakulah kerosakan kecil pada tisu. Tubuh anda akan menghasilkan asid lemak yang dikenali sebagai prostaglandin untuk membantu memperbaiki kerosakan tisu tadi dengan meningkatkan aliran darah [4].
Secara semulajadi, tisu kita akan membaiki dirinya sendiri, dan pendarahan yang banyak ini biasanya hilang selepas beberapa bulan pertama. Tetapi jika anda rasa anda mengalami ketidakselesaan tertentu semasa menggunakan gegelung kuprum, berbincanglah dengan doktor supaya anda boleh mendapat nasihat daripada mereka yang pakar.
Kondom dan kaedah halangan yang lain
Masih ingat sesi pembelajaran yang janggal, dengan kondom dan pisang? Sekarang kita imbas balik apa yang diajar dulu dan lebih memahami bagaimana ia boleh mempengaruhi haid anda.
Kondom lelaki dan lain-lain kaedah halangan seperti kondom wanita, diafragma dan cawan serviks adalah contoh pilihan kontraseptif yang tidak mengandungi hormon, dan dengan itu ia tidak mengganggu tubuh anda atau mempengaruhi haid anda.
Kaedah-kaedah halangan ini masih menawarkan perlindungan sebagai kontraseptif dengan menggunakan penghalang fizikal untuk menyekat sperma daripada sampai ke telur. Perlu ingat bahawa kedua-dua kondom lelaki dan wanita turut melindungi anda daripada jangkitan penyakit kelamin (STI).
Apa yang perlu dilakukan untuk mengatur haid saya apabila menggunakan kontraseptif?
Memang membimbangkan jika kitaran haid anda tiba-tiba berubah daripada biasa, walaupun anda sudah menjangkakannya kerana menukar atau memulakan kontraseptif yang baharu. Perkara terbaik untuk dilakukan ialah bertenang dan beri masa untuk tubuh anda menyesuaikan dirinya. Keupayaan tubuh manusia untuk menyesuaikan diri dengan apa juga keadaan memang menakjubkan (kita kan berjaya melepasi fasa akil baligh!)
Jika anda mahu lebih berhati-hati, anda boleh bersedia dengan pelapik seluar dalam, untuk membantu anda berdepan dengan kehadiran kotoran yang tidak dijangka dalam beberapa bulan pertama menggunakan kaedah kontraseptif baharu. Anda juga boleh menggunakan diari atau aplikasi, untuk mencatatkan hari berlakunya pendarahan yang tidak menentu supaya anda dapat melihat rekod perkembangan diri sendiri atau ditunjukkan kepada doktor, jika mahu.
Apa pun, mesej utamanya ialah, anda perlu mendengar kehendak tubuh anda dengan memerhatikan tindak balas yang ditunjukkan. Penting juga untuk mengambil kira faktor-faktor lain kerana stres pun boleh mempengaruhi haid anda – jadi perubahan haid itu tidak semestinya disebabkan oleh kontraseptif anda! Seperti biasa, berikan tubuh anda masa untuk memproses sebarang perubahan dan jika anda sangat bimbang, jangan teragak-agak memberitahu kawan atau saudara rapat, dan mendapatkan nasihat pakar perubatan.
Sekarang setelah belajar tentang bagaimana kontraseptif boleh mempengaruhi haid anda, apa kata anda kembangkan lagi pengetahuan dengan membaca rencana-rencana kami yang lain berkenaan tanda-tanda haid semakin hampir dan adakah kita boleh menghentikan atau menunda haid.
Peringatan perubatan
Maklumat perubatan dalam artikel ini disediakan sebagai sumber maklumat sahaja dan ia tidak boleh digunakan atau disandarkan untuk sebarang tujuan diagnosis atau rawatan. Sila dapatkan nasihat doktor anda untuk bimbingan tentang masalah kesihatan tertentu.
[Rujukan]
[4] Roy S, Shaw ST Jr. Role of prostaglandins in IUD-associated uterine bleeding--effect of a prostaglandin synthetase inhibitor (ibuprofen). Obstetrics and Gynecology. 1981 Jul;58(1):101-106.