Panduan Asas Mengenai Keputihan Faraj (Vagina)
Isu keputihan faraj (vagina) tidak begitu banyak diperkatakan, tetapi ia kemungkinan sesuatu yang anda biasa alami. Sama ada keputihan anda berbau, berair, berwarna putih atau kuning, kami ada semua maklumat yang anda perlu tahu mengenai setiap jenis dan apa maknanya.
Pernahkah anda rasa seluar dalam anda tiba-tiba menjadi lembap dan menyangka anda datang haid, tetapi rupa-rupanya ia adalah sesuatu yang sama sekali berbeza? Ya, kita semua pernah merasainya! Namun, apa sebenarnya cecair yang keluar itu dan bila anda perlu berasa bimbang?
Secara ringkasnya, kita bercakap mengenai keputihan faraj (vagina), yang dihasilkan oleh kelenjar-kelenjar kecil di dalam faraj (vagina) dan serviks. [1] Walaupun ia mungkin membuatkan kita terkejut dari semasa ke semasa, keputihan faraj (vagina) ini adalah perkara semulajadi – bahkan, ia memainkan peranan yang sangat penting dalam kesihatan kita. Ini kerana ia membantu mengekalkan kebersihan dan kelembapan faraj (vagina), di samping melindunginya daripada jangkitan dengan menyingkirkan sel-sel lama dan bakteria. [2]
Keputihan ini berubah-ubah dari segi tekstur, jumlah, bau dan warna sepanjang kitaran haid – tubuh kita sangat cekap dalam mengadaptasi dengan apa yang diperlukan pada masa yang berbeza! Bagaimanapun, ia juga boleh menjadi petanda amaran bahawa ada sesuatu yang mengganggu faraj (vagina) kita.
Jadi, apa yang normal dan apa yang tidak? Ha, inilah masanya untuk mengetahui lebih lanjut!
Adakah keputihan berwarna putih, jernih, kuning atau berair sebelum haid itu normal?
Keputihan yang sihat biasanya jernih, berwarna kuning pucat atau putih susu, bergantung kepada peringkat mana anda berada dalam kitaran haid anda. Jumlah dan tekstur juga berbeza-beza, tetapi ia boleh menjadi lebih banyak, jernih dan teksturnya seperti jeli semasa ovulasi. Sebelum haid, keputihan ini biasanya berwarna putih, walaupun anda juga boleh mengalami keputihan berwarna coklat.
Pada waktu lain dalam kitaran haid anda, tekstur keputihan ini boleh menjadi licin seperti putih telur atau berketul sedikit. Dari segi bau pula, biasanya ia berbau masam sedikit – seperti bau susu atau yogurt yang dibiarkan terlalu lama di luar peti sejuk.
Setiap Zon-V (faraj (vagina), vulva dan bahagian depan bentuk-V yang boleh dilihat) adalah unik, jadi, sangat penting untuk beri perhatian dan lihat apa yang normal bagi anda. Anda akan lebih mudah mengesan perubahan luar biasa yang perlukan perhatian perubatan.
Apa yang perlu anda lakukan bila ada keputihan?
Selagi anda mencuci vulva anda dan menukar seluar dalam setiap hari, biasanya anda tidak perlu lakukan apa-apa yang istimewa untuk menangani keputihan ini. Namun ada orang yang tidak selesa apabila seluar dalam mereka terasa lembap, dan memilih untuk memakai pelapik seluar dalam sepanjang hari.
Menggunakan sabun wangi, buih dan gel mandian juga boleh menyebabkan ketidaknormalan pada keputihan faraj (vagina) terutama jika anda mempunyai Zon-V yang sensitif. Inilah sebabnya sesetengah wanita lebih gemar menggunakan pencuci bahagian intim (seperti SensitiV Pencuci atau Wipes) yang juga membantu menyokong pH semulajadi vulva dan membolehkan anda berasa segar serta selesa walaupun selepas mandi.
Keputihan bagaimana yang tidak normal?
Faraj (vagina) mempunyai cara tersendiri untuk memberitahu kita apabila ada sesuatu yang tidak kena.
Keputihan yang mempunyai warna pelik dan teksturnya berbeza
Jika anda tiba-tiba mendapati keputihan anda berubah warna atau teksturnya daripada biasa, ia mungkin tanda amaran berlakunya jangkitan, jadi lebih baik anda dapatkan pemeriksaan doktor. Antara tanda yang biasa termasuklah perubahan warna kepada hijau, kelabu atau kuning.
Begitu juga, jika keputihan anda tiba-tiba menjadi sangat pekat (lebih kurang seperti keju kotej) atau teksturnya berbuih, ini adalah petanda seriawan atau jangkitan faraj (vagina) yang lain.
Keputihan yang berbau
Jika keputihan anda mula berbau busuk atau hanyir, pergilah berjumpa pakar perubatan. Ini bukanlah bermakna keputihan yang sihat itu berbau seperti bunga mawar (kerana ia pastinya tidak wangi!), tetapi jika anda tiba-tiba terhidu bau yang kurang menyenangkan, ia mungkin bermakna faraj (vagina) ada masalah.
Belajar tentang Zon-V anda memang mengambil masa tetapi anda akan dapat mengetahui apa yang normal untuk anda. Anda mungkin risau apabila mengesan perbezaan pada keputihan anda, tetapi berita baiknya ialah, kebanyakan jangkitan faraj (vagina) mudah dirawat dengan ubatan yang betul. Perkara terbaik untuk dilakukan ialah membuat temujanji berjumpa doktor sebaik sahaja anda menyedari ada sesuatu yang tidak kena. Walaupun ia agak memalukan, tetapi ingatlah bahawa perkara ini berlaku kepada ramai orang dan doktor juga sudah biasa merawat banyak jangkitan – mereka pasti pernah melihatnya sebelum ini!
Peringatan perubatan
Maklumat perubatan dalam artikel ini disediakan sebagai sumber maklumat sahaja dan ia tidak boleh digunakan atau disandarkan untuk sebarang tujuan diagnosis atau rawatan. Sila dapatkan nasihat doktor anda untuk bimbingan tentang masalah kesihatan tertentu.