Adakah keputihan berwarna coklat itu normal?
Walaupun ia mungkin nampak menggerunkan, keputihan berwarna coklat ini biasanya tidak perlu dirisaukan.
Kadang kala saki baki haid anda tertinggal di dalam faraj (vagina) yang kemudiannya dikeluarkan oleh keputihan harian anda. Memang ia boleh mencetuskan kebimbangan jika anda tidak pasti apakah yang keluar itu, tetapi keputihan berwarna coklat hanyalah mukus faraj (vagina) yang tepu dalam darah lama. Oleh kerana darah itu mungkin sudah berada agak lama di sana, warnanya bertukar menjadi gelap, dan inilah sebabnya keputihan anda berwarna kecoklatan. Selagi keputihan berwarna coklat anda ini tidak berbau kuat dan busuk, maka anda tidak perlulah berasa risau.
Bilakah saya berkemungkinan besar mengalami keputihan berwarna coklat ini?
Anda boleh mengalami keputihan berwarna coklat ini pada sebarang peringkat umur, dan pada bila-bila masa dalam kitaran haid anda. Keadaan ini lebih biasa dialami apabila anda menggunakan kaedah pencegahan kehamilan berhormon, ketika hamil atau mempunyai kehidupan seksual yang aktif. Walaupun ketiga-tiga perkara ini tidak relevan bagi anda, anda mungkin tetap mengalami keputihan berwarna coklat sekurang-kurangnya sekali seumur hidup, jadi jangan terkejut bila tiba waktunya!
Adakah biasa berlaku keputihan berwarna coklat yang pekat selepas haid?
Keputihan berwarna coklat atau tompokan coklat, boleh berlaku selepas haid. Ia biasanya berlarutan selama lebih kurang dua hari, tetapi keputihan berwarna coklat ini boleh keluar pada bila-bila masa sepanjang kitaran haid anda, dalam sebarang tempoh masa. Kelikatan keputihan anda ini berbeza-beza daripada pekat dan gelap, sehinggalah cair dan sedikit keruh, yang boleh membuatkan kita berasa gerun melihatnya! Namun semua ini adalah perkara biasa dan ia hanyalah saki baki darah lama daripada haid anda yang terdahulu, yang tidak keluar sepenuhnya dari rahim. Untuk keterangan lanjut, anda boleh baca artikel kami tentang kotoran antara haid bagi menenangkan hati dan minda anda.
Bolehkah keputihan berwarna coklat ini datang dari sesuatu yang lain?
Warna keputihan anda boleh dikaitkan dengan beberapa faktor. Walaupun ia normal, keputihan berwarna coklat (kecuali yang disertai simptom lain atau berterusan melebihi 3 hari), jarang dikaitkan dengan sebarang perkara yang perlu dikhuatiri atau dibimbangkan. Jika anda bimbang, berjumpalah dengan doktor, atau beritahu ibu, saudara perempuan atau pun kawan yang anda percayai. Anda akan dapati semua orang mengalami keputihan berwarna coklat ini dari semasa ke semasa!
Di bawah ini ada beberapa sebab yang memungkinkan anda mendapat keputihan berwarna coklat dari semasa ke semasa:
Sindrom Ovari Polisistik (PCOS):
PCOS adalah sindrom paling lazim yang menjejaskan fungsi ovari. PCOS mempunyai pelbagai simptom yang boleh dilihat dengan jelas, salah satunya keputihan berwarna coklat. Keputihan berwarna coklat dari faraj (vagina) ini, disertai simptom lain seperti haid yang tidak menentu dan tidak teratur, bulu roma atau jerawat yang berlebihan, mungkin menandakan anda perlu mendapatkan pemeriksaan pakar perubatan untuk PCOS.
Pencegahan kehamilan berhormon:
Apabila menggunakan kaedah pencegahan kehamilan berhormon seperti pil, implan atau IUD (alat dalam rahim contohnya gelung tembaga), badan anda melalui satu proses untuk menyesuaikan diri dengan paras hormon yang dihasilkan. Apabila menukar atau memulakan kaedah pencegahan kehamilan, anda mungkin mendapati adanya keputihan berwarna coklat untuk satu tempoh yang singkat. Kehadiran keputihan berwarna coklat akibat perubahan hormon ini adalah normal apabila badan anda sudah terbiasa dengannya, jadi jangan terlalu risau ya!
Perimenopaus:
Perimenopaus merujuk kepada proses semulajadi badan anda yang beralih ke fasa menopaus. Simptom perimopaus biasanya bermula beberapa bulan atau tahun sebelum haid anda berhenti, dan ia boleh berterusan sehingga kira-kira empat tahun selepas itu [1]. Dalam tempoh ini, beberapa perubahan boleh berlaku kepada kelikatan, warna dan tekstur keputihan anda kerana kitaran haid anda menjadi semakin tidak menentu, dan akhirnya berhenti. Jika anda fikir anda mungkin melalui fasa ini, kami ada bahan bacaan pendek yang bagus tentang perimenopaus bagi membantu anda memahami simptom yang dialami.
Kehamilan:
Semasa kehamilan, ada pelbagai sebab terhasilnya keputihan berwarna coklat – salah satunya adalah pendarahan implantasi. Pendarahan implantasi dalam tempoh 4 minggu pertama memang selalu berlaku, tetapi ia tidak perlu dibimbangkan. Ia berlaku apabila embrio melekat pada dinding rahim, menyebabkan salur darah yang halus pecah. Lazimnya wanita menyedari keadaan ini pada hari ke-7 hingga ke-10 selepas persenyawaan, dan ia biasanya menjadi salah satu tanda awal kehamilan.
Walaupun ia mungkin kelihatan menggerunkan, namun anda tidak perlu bimbang tentang pendarahan atau keputihan ketika hamil. Bagaimanapun, jika anda risau tentang apa-apa gejala yang anda alami, sila berjumpa doktor untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Jangkitan Penyakit Kelamin:
Keputihan berwarna coklat yang jelas kelihatan sebelum permulaan haid anda, yang disertai gejala lain, mungkin menjadi petanda kepada penyakit kelamin (STI) seperti chlamydia atau gonorrhoea. Jika anda berasa pedih semasa membuang air kecil, mempunyai keputihan yang berbau kuat atau tidak berwarna, atau berasa sakit ketika mengadakan hubungan seks, sila pergi ke klinik kesihatan seksual berhampiran. Jangan lupa untuk membincangkan soal perlindungan dan juga hubungan seks yang selamat dengan pasangan anda.
Meskipun keputihan berwarna coklat ini boleh datang pada masa-masa yang tidak diduga dan anda mungkin tidak faham mengapa, cubalah bertenang dan jangan terlalu risau. Perubahan pada warna dan kelikatan keputihan ini adalah perkara biasa sepanjang kitaran haid kita, sama juga dengan hari ini, tidak ada dua hari yang sama! Jika anda bimbang keputihan anda itu mungkin ada kaitan dengan mana-mana masalah di atas, jangan bertangguh, pergilah berjumpa doktor supaya ia boleh dibincangkan lebih terlanjut.
Pada masa sama, memakai pelapik seluar dalam boleh membantu anda berasa lebih selesa dan mempunyai sokongan, jadi keputihan berwarna coklat ini tidaklah akan menjejaskan hari anda.
Peringatan perubatan
Maklumat perubatan dalam artikel ini disediakan sebagai sumber maklumat sahaja, ia tidak boleh digunakan atau disandarkan untuk sebarang tujuan diagnosis atau rawatan. Sila dapatkan nasihat doktor anda untuk bimbingan tentang masalah kesihatan tertentu.