Illustration of period blood on pads

Pastinya anda berasa gerun apabila melihat kesan darah pada seluar dalam di antara waktu haid, terutama jika kitaran anda agak teratur. Tetapi anda tidak perlu panik!

Pernahkah anda mendapati ada kesan darah yang tidak dijangka pada seluar dalam anda ketika pergi ke tandas atau semasa mandi? Kesan darah yang muncul di luar waktu haid dikenali sebagai tompok kotor. Tompok kotor ini boleh berlaku atas beberapa sebab, dan kebanyakannya tidak berbahaya. Mari kita ketahui dengan lebih lanjut tentang punca tompok kotor dan apa yang anda boleh lakukan jika ia berlaku!

Apa itu tompok kotor?

Tompok kotor adalah pendarahan sedikit daripada faraj (vagina) yang berlaku di luar waktu haid anda yang biasa. Ini bermakna, secara rawak, anda boleh melihat beberapa titik darah berwarna  coklat kemerahan pada seluar dalam atau tisu tandas selepas membersihkan diri - yang muncul pada waktu yang tidak dijangka.
 
Kita memang akan risau apabila tubuh menunjukkan reaksi di luar kebiasaan…tetapi anda tidak perlu berasa risau jika mendapati tompok kotor di antara waktu haid – kerana ada penjelasan untuk keadaan ini.

Adakah tompok kotor berwarna merah jambu atau coklat itu normal?

Anda mungkin mendapati warna tompok kotor anda itu tidak sama dengan darah haid. Tompok kotor ini biasanya berwarna merah jambu pucat (seperti gula-gula kapas) sehinggalah ke coklat karat. Ia disebabkan oleh darah lama, iaitu darah haid terdahulu yang tidak keluar dari rahim anda, yang boleh bercampur dengan keputihan faraj (vagina) dan menghasilkan warna yang berbeza-beza. 
 
Walaupun berasa janggal melihat keputihan berwarna coklat atau merah jambu yang tiba-tiba mengotori seluar dalam anda, namun biasanya keputihan jenis ini jarang dikaitkan dengan masalah yang serius. Jika anda bercakap dengan orang yang sudah haid, anda akan dapati semua orang mengalami keputihan berwarna coklat ini dari semasa ke semasa!

Apakah punca pendarahan antara haid?

Punca berlakunya tompok kotor antara haid tidak perlu dibimbangkan  – kadang kala ia hanya menandakan tubuh anda sedang menyesuaikan diri dengan perubahan paras hormon, dan dalam kes ini kehadiran tompok kotor memang dijangkakan! Bagaimanapun, terdapat juga sebab yang lebih serius, jadi pergilah berjumpa doktor atau pakar perubatan, walau ia sekadar untuk menenangkan fikiran.

Tompok kotor ketika mengambil pil

Seperti yang kami nyatakan, perubahan hormon boleh menjadi punca tompok kotor dan ramai orang akan mengalami keadaan ini apabila memulakan atau menghentikan pengambilan pil. Tompok kotor ini juga dikenali sebagai “pendarahan antara haid”. Pendarahan antara haid biasanya akan berlaku semasa 3-6 bulan pertama selepas anda mula mengambil pil, kerana tubuh anda menyesuaikan dirinya dengan hormon yang baharu diterima.
 
Keadaan ini memang boleh membuatkan kita rasa kecewa, tetapi ingatlah bahawa pendarahan antara haid biasanya bersifat sementara dan ia bukan bermakna pil yang anda ambil tidak berkesan! Namun jika anda mengalami pendarahan antara haid selepas 6 bulan mengambil pil yang sama, pergilah berjumpa pakar perubatan. Doktor boleh memberikan pil atau pilihan kontraseptif lain yang lebih sesuai dengan tubuh anda.

Lebih banyak perubahan hormon

Pil bukan satu-satunya faktor yang boleh mencetuskan perubahan pada paras hormon anda. Ia boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti;  ovulasi (apabila ovari anda melepaskan telur), implantasi (apabila telur melekat pada lapisan rahim pada permulaan kehamilan), memulakan/menghentikan kontraseptif, akil baligh atau perimenopaus.
 
Apabila anda mula datang haid dan melalui fasa akil baligh, adakalanya ia mengambil masa bertahun-tahun untuk haid anda menjadi teratur. Ini bermakna, anda mungkin mengalami tompok kotor dalam jangka masa itu. Begitu juga, apabila anda menghampiri menopaus, haid anda menjadi tidak teratur dan tidak boleh dijangka, menyebabkan berlakunya tompok kotor yang tidak membahayakan kerana tubuh anda menyesuaikan diri dengan norma baharu.
 
Jadi, sekiranya anda melalui fasa di mana paras hormon berubah-ubah, maka jangan panik jika melihat adanya tompok kotor – ini adalah tindak balas biasa kerana tubuh anda sedang menyesuaikan diri dengan paras hormon yang baharu.

Perubahan lain yang boleh menyebabkan tompok kotor

Punca-punca lain yang lebih serius yang menyebabkan tompok kotor termasuklah jangkitan faraj (vagina) atau jangkitan seksual seperti chlamydia. Ia juga boleh menjadi tanda yang menunjukkan anda hamil. Walaupun tompok kotor ini tidak semestinya menandakan kehamilan anda bermasalah, ia tetap perlu diperiksa. 
 
Tompok kotor selepas hubungan seks juga boleh menjadi petanda kanser serviks atau faraj (vagina) [1], maka sangat penting untuk berjumpa pakar perubatan jika anda mengalami keadaan ini - tetapi ia jarang berlaku. Bahkan, lebih baik juga anda menjalani ujian PAP Smear secara berkala untuk memeriksa kesihatan serviks anda (walaupun anda tiada masalah tompok kotor!). 

Bagaimana anda menangani kehadiran tompok kotor di antara haid?

Selepas mengetahui beberapa puncanya, anda mungkin tertanya-tanya apakah yang boleh dilakukan apabila mengalami masalah tompok kotor ini. Berita baiknya ialah apabila mengetahui punca tompok kotor yang dialami, anda boleh mula mengambil langkah yang betul untuk menanganinya!
 
Jika anda telah diperiksa oleh pakar perubatan dan mereka meyakinkan bahawa tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan, maka anda boleh mengambil beberapa langkah untuk memudahkan hidup anda apabila tompok kotor ini berlaku. Contohnya anda boleh memakai pelapik seluar dalam bagi melindungi pakaian anda dan bawalah ia ke mana sahaja, manalah tahu tompok kotor ini muncul mengejut.

Tahukah anda?

25%
wanita hamil mengalami tompok kotor dalam trimester pertama mereka [2]
1 dalam 4
wanita mengalami pendarahan implantasi [3]
2-3
bulan diperlukan untuk haid anda teratur semula selepas menghentikan pengambilan pencegahan kehamilan [4]
Kita memang akan berasa resah apabila melihat darah pada seluar dalam, tetapi kini kita tahu bahawa tompok kotor adalah perkara normal dan biasanya ia bukan menandakan ada sesuatu yang tidak kena. Seperti biasa, perhatikan tindak balas tubuh anda dan berikan ia masa untuk memproses serta menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan baharu – yang membabitkan hormon atau tidak!
 
Walaupun sesetengah punca tompok kotor boleh menjadi tanda amaran kepada perkara yang lebih serius, namun selagi anda berjumpa pakar perubatan, mereka pasti akan dapat memberi panduan terbaik untuk anda menangani keadaan ini. 
 
Jika anda ingin mendapatkan lebih banyak maklumat berkaitan haid, bolehlah anda membaca artikel berkaitan tahi haid dan haid yang tidak teratur untuk membantu memperluas pengetahuan anda!

Peringatan perubatan

Maklumat perubatan dalam artikel ini disediakan sebagai sumber maklumat sahaja dan ia tidak boleh digunakan atau disandarkan untuk sebarang tujuan diagnosis atau rawatan. Sila dapatkan nasihat doktor anda untuk bimbingan tentang masalah kesihatan tertentu.

[Rujukan]

[2] Hasan, Reem et al. “Patterns and predictors of vaginal bleeding in the first trimester of pregnancy.” Annals of epidemiology vol. 20,7 (2010): 524-31.
[3] Deutchman M, Tubay AT, Turok D. First trimester bleeding. Am Fam Physician. 2009 Jun 1;79(11):985-94. 

Terus belajar