Illustration of woman waiting for period

Sama ada anda menanti haid yang pertama, atau yang sudah berpengalaman tetapi masih tertanya-tanya bilakah haid anda akan datang, ada beberapa tanda yang menunjukkan saat yang dinanti-nantikan sudah hampir tiba.

Bilakah haid saya akan bermula?

Pengalaman mendapat haid pertama bagi setiap orang berbeza-beza. Kebanyakan orang mendapat haid pada usia antara 11 dan 14 tahun, bagaimanapun kita juga pernah mendengar ada orang yang datang haid seawal usia 8 tahun, atau selewat 16 tahun. Salah satu cara untuk membuat anggaran ialah dengan bertanya kepada ibu atau saudara perempuan terdekat bilakah mereka mula datang haid. Mereka boleh membantu dan membimbing anda, selain menjawab sebarang persoalan anda. Jangan terlalu risau memikirkannya – kerana haid anda akan datang juga! Perkara terbaik untuk anda lakukan ialah bersabar dan biarkan tubuh anda berkembang secara semulajadi. 
 
Walaupun mustahil untuk meramalkan dengan tepat bila ia akan berlaku, ada beberapa tanda yang menunjukkan tubuh anda hampir bersedia memulakannya… 

Apakah persediaan untuk menghadapi haid pertama saya?

Mendapat haid adalah salah satu aspek dalam fasa akil baligh. Petunjuk lain seperti payudara anda mula terbentuk, tumbuh bulu di tempat yang tiada sebelum ini (contohnya di ketiak atau di sekitar vulva), dan mengalami keputihan faraj (vagina) adalah tanda-tanda yang menunjukkan haid anda hampir muncul! Untuk maklumat lanjut, bacalah panduan yang kami sediakan tentang perubahan fizikal yang bakal berlaku semasa akil baligh.
 
Tidak ada cara untuk mengetahui dengan tepat bila anda akan mendapat haid pertama,  tetapi anda boleh bersedia apabila ia tiba! Jika anda mengalami beberapa tanda di atas, haid anda mungkin akan bermula tidak lama lagi, jadi lebih baiklah anda bersedia dengan membawa beberapa keping tuala wanita dan sehelai seluar dalam ke sekolah sebagai langkah berjaga-jaga. Kadang kala berlaku juga sesuatu yang tidak diduga seperti kebocoran haid sehingga mengotorkan pakaian, dan ini adalah perkara normal tidak kiralah ia haid pertama anda atau yang ke-100! Kami juga faham ketidakselesaan anda apabila ada kesan haid pada pakaian, kerana ia berlaku kepada kita semua.

Bilakah haid saya akan tiba?

Sebelum haid anda bermula, paras hormon dalam tubuh anda mula berubah-ubah yang menyebabkan perubahan fizikal dan emosi. Ini dikenali sebagai PMS. Anda mungkin mendapati beberapa petunjuk fizikal seperti berasa kembung perut, berjerawat, rambut berminyak atau payudara anda terasa bengkak dan sakit apabila disentuh. Sesetengah wanita mengakui mengalami perubahan emosi atau berasa cepat marah, yang semuanya adalah tanda bahawa haid mereka hampir bermula.
 
Kadangkala bagus juga anda mencatat simptom pra-haid yang dialami supaya anda boleh mengenali tanda yang dipamerkan oleh tubuh dan mengesan corak dalam setiap peringkat sepanjang kitaran haid anda. Anda juga boleh menggunakan penjejak haid untuk membuat ramalan yang lebih tepat bila haid anda akan bermula.
 
Walaupun tanda-tanda haid anda hampir tiba boleh memberitahu anda banyak perkara, ketepatan sains mengenainya masih sukar dicapai. Tiada cara yang pasti untuk mengetahui bilakah haid anda akan bermula dan kebimbangan anda tidak akan mempercepatkan kedatangannya. Jadi, bertenang, lakukanlah sesuatu supaya anda tidak terlalu memikirkannya, dan pastikan anda sudah bersedia dengan produk tuala wanita.
 
Memang diakui adakala keadaan ini menimbulkan cabaran dan menyukarkan kita membuat perancangan untuk hari-hari mendatang kerana kita tidak mengetahui dengan tepat tarikh permulaan haid. Tetapi setiap kali anda rasa begini, sematkan dalam fikiran tentang betapa hebatnya tubuh anda dalam menjaga dirinya sendiri, walaupun haid anda dirasakan mengambil masa yang amat lama untuk tiba.

Untuk ibu bapa: Apakah tanda-tanda anak gadis anda akan mula datang haid? 

Masa terbaik untuk menyentuh dan membincangkan perkara ini ialah sebelum anak gadis anda memasuki fasa akil baligh. Anda mungkin menyedari beberapa tanda awal yang anak gadis anda akan datang haid, seperti apabila dia meminta untuk memakai baju dalam, atau bertanya mengenai bulu ketiak.
 
Semasa anak gadis anda mula datang haid, dia akan mengalami perubahan mental dan fizikal, dan pastinya memerlukan sokongan ibu bapa. Anda mungkin berasa sedikit gementar untuk membantu supaya dia berasa bersedia menghadapi keadaan ini dengan memberikan fakta-fakta dan produk yang sesuai. Jadi, apa yang boleh ibu bapa lakukan untuk membantu anak gadis mereka yang mula datang haid?
 
Pertama sekali, sangat penting untuk berdialog dengan anak gadis anda tentang haid dan/atau akil baligh lebih awal, supaya apabila tiba masanya, dia akan rasa selesa membicarakan topik ini. Buatlah perbincangan yang santai tetapi bermaklumat dengan anak gadis anda untuk menghilangkan rasa takut apabila datang haid dan sematkan dalam fikirannya bahawa haid bukanlah sesuatu yang memalukan atau tidak normal, kerana ini adalah perkara semulajadi semasa membesar! Memberikan anak anda ilmu yang praktikal akan membantunya apabila haidnya bermula seperti menjelaskan mitos haid yang menakutkan dan produk haid mana untuk dibeli.
 
Untuk ibu bapa yang inginkan maklumat lanjut, bolehlah membaca panduan yang kami sediakan berkenaan bercakap tentang haid dengan anak gadis anda
 

Terus belajar