Adakah haid anda boleh dihentikan atau dilewatkan?
Kita perlu menerima hakikat bahawa keadaan semulajadi tidak selalunya mempunyai masa yang tepat. Sama ada anda bercadang mahu pergi bercuti, ke kolam renang atau sekadar menghentikan haid anda hanya untuk satu malam: kadang kala permulaan kitaran anda bertindan dengan acara yang penting. Tubuh kita memang tiada butang on/off untuk haid, tetapi ada beberapa cara yang boleh membantu anda melewatkannya.
Walaupun haid adalah normal, namun hakikatnya ia boleh menimbulkan kesulitan, terutama apabila anda mempunyai rancangan penting. Jika alternatif seperti seluar haid tidak mencukupi, anda mungkin berasa lega apabila mengetahui bahawa kita boleh menghentikan haid – atau secara teknikal melewatkannya – jadi, tidak perlulah anda menjadualkan semula cuti anda. Jom teruskan pembacaan!
Bolehkan anda menghentikan haid sebaik sahaja ia bermula?
Pendek kata, belum ada orang yang tahu cara untuk melakukannya. Tetapi pengambilan segera pil kontraseptif kombinasi sebaik sahaja anda datang haid, boleh menjadikan haid anda lebih pendek dan sedikit [3]. Malah, mengambil pil tahan sakit yang dibeli di kaunter juga mengurangkan pembengkakan dinding rahim, yang seterusnya mengurangkan pendarahan dan kesakitan.
Terdapat beberapa kaedah semulajadi untuk memudahkan aliran anda juga [4]. Antaranya ialah bersenam secara berkala, yang membantu merehatkan otot dalam rahim.
Sementara itu, ramai wanita mengamalkan minum teh herba yang mengandungi akar valerian dan chamomile, manakala teh raspberi dan daun nettle juga dikatakan boleh memperlahankan aliran haid. Tetapi ingat, berbincanglah dahulu dengan doktor sebelum mencuba kaedah herba ini.
Jadi, kita sudah tahu bahawa tubuh kita tidak boleh menghentikan haid. Tetapi jika anda membuat perancangan awal, ada beberapa cara yang boleh melewatkan aliran ini sehinggalah acara istimewa anda itu.
Menggunakan pil untuk menghentikan kedatangan haid
Jika anda kerap mengambil pil kombinasi, anda biasanya berehat atau berhenti sebentar di antara pek atau mengambil pil plasebo pada minggu terakhir pek anda. Pada masa ini anda mungkin mengalami pendarahan penarikan, yang terasa dan kelihatan sangat serupa dengan haid. Walaupun secara teknikalnya ia bukan haid, anda boleh melewatkan aliran ini sama ada dengan memulakan pek baharu secepat mungkin selepas pek lama habis (berturut-turut) atau dengan melangkau minggu terakhir pil plasebo dan memulakan pek yang baharu. [1]
Jika anda bercadang menggunakan pil kombinasi bagi melewatkan haid anda, maka adalah penting untuk mendapatkan nasihat pakar perubatan sebelum meneruskan hasrat itu. Jadi anda boleh memastikan pil itu selamat untuk tubuh anda, dan ia boleh dilakukan mengikut jenis pil yang anda ambil.
Ingatlah juga bahawa sedikit pendarahan antara haid atau tompok kotor masih akan berlaku apabila anda mengambil pil secara terus menerus. Tubuh kita bertindak balas dengan cara berbeza terhadap hormon, jadi walaupun kaedah ini boleh melewatkan haid anda (sebenarnya ia adalah pendarahan penarikan), tiada jaminan yang anda tidak akan melihat beberapa titisan darah pada seluar dalam anda. Ini bermakna anda perlu bersiap sedia dengan pelapik seluar dalam, sebagai langkah berjaga-jaga!
Cara melewatkan haid anda menggunakan tablet Norethisterone
Jika anda tidak mengambil pil kontraseptif kombinasi, maka anda boleh berbincang dengan doktor tentang cara lain untuk menunda aliran haid anda. Pilihan lazim ialah ubat yang dipanggil Norethisterone. Pada asasnya ia adalah sejenis hormon progesteron yang berfungsi dengan menghalang lapisan rahim daripada dikeluarkan.
Norethisterone hadir dalam bentuk tablet dan perlu diambil kira-kira 3 hari sebelum haid (jika tidak pasti bila, ada baiknya anda mencatat kitaran haid anda sebelum itu – kerana penggunaan aplikasi penjejak haid sangat membantu). Pengambilan tablet ini perlu diteruskan selama mana anda mahu melewatkan haid anda. Sebaik sahaja anda berhenti mengambilnya, haid anda akan datang dalam masa 2 atau 3 hari. [2]
Menghentikan haid buat sementara dengan kaedah kontraseptif lain
Pil bukanlah satu-satunya jenis kontraseptif yang mempengarui haid anda – kebanyakan kaedah berhormon boleh mengubah aliran anda dengan cara tertentu; sama ada dengan menjadikannya semakin sedikit, lebih banyak atau berhenti terus. Ia boleh berlaku selepas beberapa bulan sementara tubuh anda menyesuaikan diri dengan hormon baharu itu. Ini bermakna kaedah-kaedah ini adalah pilihan jangka panjang, bukannya cara untuk melewatkan haid anda untuk majlis minggu hadapan.
IUD berhormon, implan dan suntikan kontraseptif adalah antara pilihan yang berkemungkinan besar menghentikan terus haid anda semasa anda menggunakannya. Namun anda perlu ingat bahawa setiap orang mempunyai tindak balas tersendiri terhadap setiap kaedah kontraseptif, jadi lebih baik anda rujuk dengan doktor terlebih dahulu.
Bolehkah anda menghentikan haid selama-lamanya?
Kadang kala, haid boleh menjadi sangat sukar sehingga ada wanita yang mengharapkan ia tidak datang buat selama-lamanya! Tetapi satu-satunya kaedah supaya haid boleh berakhir secara semulajadi (tanpa campur tangan pembedahan) ialah apabila kita menopaus, yang menghentikan ovulasi dan dengan itu, haid juga akan berhenti. Pun begitu, ini adalah proses yang berlaku secara beransur-ansur dan haid anda tidak hilang sekelip mata.
Kaedah yang kami sebutkan di atas adalah pilihan terbaik untuk menghentikan atau melewatkan haid, tetapi ia hanya bertahan selama mana anda mengambil atau menggunakannya.
Peringatan perubatan
Maklumat perubatan dalam artikel ini disediakan sebagai sumber maklumat sahaja dan ia tidak boleh digunakan atau disandarkan untuk sebarang tujuan diagnosis atau rawatan. Sila dapatkan nasihat doktor anda untuk bimbingan tentang masalah kesihatan tertentu.