Diagram of menstrual cycle phases

Kitaran menstruasi (atau haid) anda adakalanya mungkin tidak dapat diramalkan seperti cuaca atau pun ia mempunyai pola yang agak teratur. Mari kita lihat dengan lebih dekat kepada fasa-fasa haid, supaya anda boleh bersedia menghadapi apa sahaja yang dihadiahkan oleh tubuh anda.

Kita mulakan dengan fakta asas: menstruasi (masa apabila anda mengalami pendarahan, juga dikenali sebagai haid) berlaku sebulan sekali. Haid itu sendiri biasanya bermula pada satu ketika semasa akil baligh, iaitu sekitar umur 11 hingga 14 tahun, walaupun ia boleh bermula seawal umur 8 atau 9 tahun, atau selewat umur 15 bahkan 16 tahun. [1] Mendapat haid adalah proses semulajadi dan normal; ini adalah cara tubuh memberitahu bahawa ia sudah boleh menampung kehamilan. Tetapi jangan risau, ia bukan bermakna yang anda perlu mempunyai anak buat masa ini!
 
Seperti proses semulajadi tubuh yang lain, kitaran haid setiap orang adalah berbeza, tetapi kebanyakannya akan mengikuti pola yang serupa.

Berapa lama tempoh kitaran haid yang normal?

Oleh kerana tubuh kita adalah unik, maka pastinya haid setiap orang juga akan berbeza dari segi tempoh dan alirannya! Malah ia mungkin berubah apabila kita semakin berusia – dan ia bukanlah sesuatu yang berada dalam kawalan kita. Secara umumnya, haid berlaku dalam setiap 21 hingga 40 hari [1]. 
 
Hari haid anda bermula dikira sebagai hari pertama kitaran haid anda. Ada pelbagai keadaan yang boleh dianggap sebagai kitaran yang “teratur” – jadi jangan bandingkan jarak masa atau hari tertentu dengan orang lain kerana tubuh kita semua berfungsi secara berbeza!
 
Selain itu, kadang kala haid boleh menjadi benar-benar tidak teratur dan tidak mengikut pola tertentu langsung. Anda boleh mengalami tompok kotor, haid yang banyak, haid selama sehari ataupun mendapat 2 kali haid dalam sebulan. Pada masa itu, anda mungkin berasa resah dan bimbang, tetapi selalunya ia hanyalah tanda yang menunjukkan tubuh anda sedang menyesuaikan diri dengan paras hormon yang berubah-ubah. Haid anda sepatutnya menjadi teratur dengan sendiri secara semulajadi,tetapi jika ia tidak berlaku, sila berjumpa doktor untuk memastikan anda tidak mengalami sebarang masalah.

Apakah fasa-fasa dalam kitaran haid?

Secara umumnya kitaran haid boleh dibahagikan kepada 4 peringkat, setiap satu mempunyai fungsi tersendiri. Ingin tahu? Mari kita lihat dengan lebih dekat apa yang berlaku dalam semua peringkat ini!

Fasa kitaran haid

Fasa pertama kitaran haid bermula pada hari anda mendapat haid dan tidak hairanlah jika ia dipanggil fasa kitaran haid! Ia berlaku apabila tiada sperma bersentuhan dengan telur yang dilepaskan ke dalam uterus atau rahim anda.
 
Penurunan paras hormon estrogen dan progesteron merangsang tubuh anda untuk meluruhkan lapisan endometrium yang menebal dan mengeluarkan telur yang tidak disenyawakan melalui faraj  (vagina) anda sebagai darah haid. Pendarahan ini biasanya berlaku dalam tempoh 3-8 hari. [2] Anda mungkin mengalami pendarahan yang lebih banyak semasa dua hari pertama haid anda.
Sebelum dan semasa haid, anda mungkin mengalami sedikit rasa sakit pada abdomen bawah anda. Keadaan ini dikenali sebagai kekejangan menstruasi atau senggugut dan biasanya ia disebabkan oleh pengecutan rahim untuk meluruhkan lapisan rahim. Walaupun tiada wanita yang menginginkan senggugut, namun ia adalah perkara yang sangat lazim! Tetapi jangan risau, senaman dan ubat tahan sakit yang boleh dibeli di kaunter (farmasi) boleh meredakan sebarang ketidakselesaan dengan ketara – namun, jika ia amat menyakitkan, pergilah berjumpa doktor.

Fasa folikular

Fasa folikular juga bermula semasa haid anda (memang ada sedikit pertindihan) dan ia akan berlarutan sehinggalan ovari anda melepaskan telur yang baharu. Dalam fasa folikular ini, otak anda menghasilkan hormon yang dipanggil hormon perangsang folikel (FSH) dan ia memberi isyarat kepada ovari supaya mempersiapkan telur untuk ovulasi (pelepasan telur).
 
Peningkatan paras estrogen yang berlaku dalam fasa ini bermakna lapisan endometrium anda mula menebal sekali lagi. Fasa folikular ini berlarutan sehinggalah ovulasi berlaku dan ia boleh mengambil masa dari 10 hingga 17 hari, bergantung kepada kitaran anda. [3]

Fasa pengovulan

Anda mungkin boleh meneka apa yang berlaku berdasarkan namanya. Benar, dalam fasa inilah berlakunya pengovulan atau ovulasi, iaitu apabila salah satu daripada ovari anda melepaskan folikel (yang mengandungi telur) ke dalam tiub fallopio. 
 
Ovulasi didorong oleh peningkatan paras estrogen, yang merangsang otak untuk menghasilkan hormon lain dipanggil hormon peluteinan (LH). Apabila jumlah LH dalam tubuh anda terus meningkat, ia mencetuskan ovulasi dan telur anda memulakan perjalanannya melalui tiub fallopio menuju ke uterus (rahim). Semasa fasa ini, anda akan menjadi paling subur dan mempunyai peluang paling tinggi untuk hamil.
 
Anda mungkin menyedari anda mengalami keputihan berwarna putih yang pekat selain mendapati keinginan seks turut meningkat; ia adalah cara tubuh anda memberitahu bahawa inilah waktu terbaik untuk mengadakan hubungan kelamin jika mahu mempunyai anak. 

Fasa luteum

Semasa ovulasi, folikel (yang mengandungi telur) bertukar kepada kelompok sel yang dipanggil korpus luteum. Kelompok sel ini mula merembeskan hormon progesteron dan estrogen. Jika telur disenyawakan, progesteron dari korpus luteum ini membantu menyokong peringkat awal kehamilan. Bagaimanapun, jika telur tidak disenyawakan, korpus luteum ini akan pecah dan paras progesteron menurun yang menyebabkan lapisan endometrium luruh serta merangsang berlakunya haid. [4]
 
Anda mungkin menyedari beberapa perubahan emosi dan fizikal semasa fasa ini. Anda mungkin berasa kembung perut dan mual; payudara anda membesar dan ada kemungkinan juga anda mengalami cirit-birit. Bahkan anda juga boleh berasa sedih, cepat marah atau mudah hendak menangis. Simptom-simptom ini adalah normal dan ia dikenali sebagai sindrom prahaid atau  PMS. 
Selepas fasa luteum, seluruh kitaran haid anda bermula sekali lagi!
 
Proses kitaran haid ini berulang sebanyak sekitar 450 kali (ya, betul) dalam hidup anda sehinggalah anda memasuki fasa menopaus dan haid anda akhirnya berhenti. [5] Mungkin sukar untuk anda memahami semuanya, namun kita bertuah kerana tubuh kita menjalankan semua proses ini secara automatik (syukur kepada Tuhan!). Anda tidak perlu memikirkan perkara ini setiap hari, tetapi memahami apa yang berlaku dalam kitaran haid boleh membantu anda untuk lebih menghargai bagaimana tubuh kita berkerja. Jika anda mahu membaca lebih lanjut tentang haid, sila tinjau halaman kami dengan paparan artikel bertajuk apa yang membantu meredakan senggugut dan tanda-tanda haid anda hampir tiba.

Peringatan perubatan

Maklumat perubatan dalam artikel ini disediakan sebagai sumber maklumat sahaja dan ia tidak boleh digunakan atau disandarkan untuk sebarang tujuan diagnosis atau rawatan. Sila dapatkan nasihat doktor anda untuk bimbingan tentang masalah kesihatan tertentu.
 

[Rujukan]

Terus belajar