Diagram of a uterus showing implantation of the egg on the uterus wall

Kadang kala haid anda menjadi lebih pendek dan sedikit tanpa sebarang sebab yang jelas! Namun, ada kemungkinan juga ia adalah petanda awal kehamilan. Jadi, mari kita sama-sama belajar cara untuk membezakan antara pendarahan implantasi dengan tompok kotor yang biasa.

Jika anda mengalami kekejangan dan pendarahan yang sedikit, memang mudah untuk mengandaikan yang anda datang haid. Tetapi ia tidak semestinya haid, bahkan ada kemungkinan ini adalah tanda anda bakal menimang cahaya mata! Ini kerana salah satu peringkat awal kehamilan ialah apabila implantasi berlaku, iaitu proses di mana telur yang tersenyawa melekat sendiri pada lapisan uterus atau rahim. [1]
 
Walaupun ramai orang tidak menyedarinya, implantasi sebenarnya boleh menyebabkan tompok kotor dan sedikit kekejangan. Ia adalah perkara normal semasa awal kehamilan, di mana 1 dalam 4 wanita mengatakan mereka mengalami simptom ini. [2]
 
Mari pelajari lebih lanjut bagaimana rasa kekejangan dan rupa tompok kotor implantasi, supaya anda boleh bersedia dengan apa juga yang tubuh anda lalui!  

Bagaimana rupa tompok kotor implantasi?

Implantasi biasanya berlaku sekitar 6-12 hari selepas anda mengadakan hubungan seks yang tidak terlindung. Kadang kala ia boleh menyebabkan salur darah halus pada dinding rahim pecah dan inilah yang mencetuskan pendarahan implantasi. 
 
Jadi, walaupun proses ini masih melibatkan darah yang dikeluarkan melalui faraj (vagina) seperti ketika anda haid, namun ia bukan disebabkan oleh hormon. Anda juga mungkin menyedari perkara berikut:
  • Warna darah lebih cerah berbanding darah haid; contohnya warna coklat karat atau merah jambu pucat. 
  • Aliran yang sangat ringan atau sedikit – inilah sebabnya ia sering dirujuk sebagai “tompok”. Namun darah dari tompok kotor ini tidak cukup pun untuk memenuhi tuala wanita atau tampon – sebab jumlahnya hanya beberapa titik sahaja! Namun anda boleh menggunakan pelapik seluar dalam atau seluar dalam haid untuk membantu anda berasa lebih selesa.
  • Pendarahan yang lebih pendek tempohnya. Pendarahan implantasi tidaklah selama haid anda – biasanya ia mengambil masa dari 2 jam hingga 3 hari sahaja. [3]
  • Dalam kata lain, jika anda mengalami pendarahan yang banyak dan berwarna merah melebihi 3 hari, ada kemungkinan itu bukanlah pendarahan implantasi, sebaliknya haid bulanan anda! Bagaimanapun, jika anda mahukan kepastian, anda boleh membuat ujian kehamilan di rumah atau bersama doktor anda.

<h2>Bagaimana rasanya kekejangan implantasi?</h2>

Mungkin sukar untuk menyatakan perbezaan antara kekejangan implantasi dengan kekejangan haid atau senggugut kerana kedua-duanya melibatkan spasma atau denyutan berterusan pada bahagian bawah perut anda. Namun, kekejangan implantasi biasanya lebih ringan dan tidak lama.
 
Kekejangan implantasi juga biasanya dijelaskan sebagai rasa ditarik-tarik atau mencucuk-cucuk berbanding kekejangan haid. Dalam kedua-dua keadaan, ingatlah bahawa apabila kekejangan menyebabkan anda berasa semakin tidak selesa atau menghentikan anda daripada melakukan aktiviti biasa, anda boleh mengambil pil tahan sakit untuk meredakan kesakitan ini. 
 
Secara keseluruhannya, tompok kotor atau kekejangan implantasi jarang menimbulkan masalah pada peringkat awal kehamilan. Bagaimanapun, jika kemudiannya anda mengalami pendarahan, ia boleh menunjukkan bahawa sesuatu yang lebih serius sedang berlaku. Maka, segeralah berjumpa doktor. Tetapi jika ia menandakan anda baru memulakan perjalanan kehamilan, ini bermakna anda sudah boleh mempersiapkan diri untuk memasuki fasa seterusnya! Jadi, apa kata anda meninjau artikel kami yang membincangkan soal kehamilan dan haid anda dan bagaimana tubuh anda berubah semasa hamil?

Peringatan perubatan

Maklumat perubatan dalam artikel ini disediakan sebagai sumber maklumat sahaja dan ia tidak boleh digunakan atau disandarkan untuk sebarang tujuan diagnosis atau rawatan. Sila dapatkan nasihat doktor anda untuk bimbingan tentang masalah kesihatan tertentu.
 

[Rujukan]

[1] Hasan R, Baird DD, Herring AH, Olshan AF, Jonsson Funk ML, Hartmann KE. Patterns and predictors of vaginal bleeding in the first trimester of pregnancy. Ann Epidemiol. 2010;20(7):524-531. doi:10.1016/j.annepidem.2010.02.006