Haid tidak teratur, tidak datang atau lewat: Adakah anda perlu risau?
Hakikatnya – kedatangan haid tidaklah benar-benar tepat pada waktunya. Walaupun sesetengah wanita terbiasa dengan aliran yang tetap, tetapi wanita lain belajar menerima kedatangan yang tidak dijangka setiap bulan, dan kebanyakan daripada kita akan mengalami haid yang tidak teratur pada satu waktu – sama ada ia lewat, awal atau tidak datang langsung!
Walaupun biasanya dijelaskan bahawa tempoh haid hanyalah beberapa hari sebulan dalam kitaran haid di mana lapisan rahim dikeluarkan sebagai darah, namun kita tahu ia sebenarnya jauh lebih rumit daripada itu. Setiap orang adalah unik, bahkan orang yang sama boleh mengalami pendarahan yang banyak selama dua minggu pada satu ketika dan pada bulan yang lain, tiada haid langsung! Malah berkemungkinan juga haid anda datang awal atau lewat sedikit daripada yang dijangkakan.
Kami yakin anda juga menyedari bahawa jangka waktu dan tahap aliran haid anda tidak ubah seperti loteri bulanan, yang penuh dengan kejutan. Bagaimanapun, hanya kerana anda mempunyai haid yang tidak teratur, tidak bermakna ada sesuatu yang tidak kena!
Keadaan bagaimana yang dikatakan haid tidak teratur?
Haid yang tidak teratur boleh berlaku dalam banyak keadaan. Mungkin haid anda datang lebih awal atau lewat daripada biasa. Anda mungkin mengalami pendarahan yang sangat sedikit atau lebih banyak berbanding aliran biasa. Atau haid anda melangkau sebulan (amenorrhea) atau mempunyai dua haid dalam sebulan (metrorrhagia). Meskipun ini isu biasa, namun ada baiknya anda mendapatkan bantuan doktor sekiranya anda bimbang dengan haid anda yang tidak teratur.
Apakah punca haid tidak teratur?
Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan haid tidak teratur dan menariknya, hampir semuanya berkaitan dengan perubahan hormon. Mari kita baca lebih lanjut:
Akil baligh
Akil baligh adalah fasa perubahan dan penyesuaian – dan ia turut membabitkan soal haid! Apabila tubuh anda mengawalatur pelepasan hormon baharu, bukan sahaja haid yang tidak teratur menjadi perkara biasa, malah ia memang dijangkakan begitu - jadi berikan tubuh anda masa melalui fasa penting dalam pembesaran ini.
Perimenopaus
Berbeza dengan akil baligh, perimenopaus (fasa menuju menopaus) menandakan tubuh anda mula memperlahankan penghasilan hormon dan akhirnya menghentikan ovulasi.
Oleh itu, apabila jumlah estrogen dan progesteron beransur-ansur berkurang dan ovulasi tidak lagi mengikut rutinnya, maka haid anda akan menjadi semakin tidak teratur sehinggalah ia terhenti sepenuhnya. Pada mulanya ia mungkin kelihatan agak janggal, apatah lagi apabila anda sudah terbiasa menerima ‘sapaan’ haid setiap bulan, tetapi ia hanyalah permulaan kepada babak baru dalam kehidupan anda!
Kehamilan dan melahirkan anak
Fasa kehamilan dan melahirkan anak datang bersama banyak perubahan yang berlainan (kerana anda membawa orang baru ke dunia), dan haid anda termasuk dalam perubahan itu!
Tidak mempunyai haid adalah antara tanda pertama yang menunjukkan kemungkinan anda hamil tetapi ia bukanlah satu-satunya perubahan dalam kitaran haid anda. Malah normal juga jika anda mengalami corak kedatangan haid yang tidak menentu pada haid pertama selepas kehamilan kerana paras hormon anda mula berubah lagi. Cuma anda perlu ingat bahawa semua ini adalah perkara semulajadi dalam perjalanan kehamilan dan selepas bersalin.
Kontraseptif
Kontraseptif boleh mempengaruhi kitaran haid kerana kebanyakan kaedahnya berfungsi dengan melepaskan hormon ke dalam tubuh anda, yang menghalang sperma daripada mendekati telur. Semua hormon tambahan ini boleh menjadikan haid anda tidak teratur pada mulanya dan masalah ini selesai selepas satu ketika (atau haid anda tiada langsung!) – maka, cubalah bersabar dan berikan tubuh anda masa untuk menyesuaikan diri.
Stres /Tekanan
Stres atau tekanan juga boleh menjejaskan haid anda. Anda mungkin sudah mula belajar atau bekerja di tempat baharu, atau anda berhadapan dengan masalah cinta. Mungkin pertengkaran keluarga atau peperiksaan yang bakal diduduki meresahkan anda. Dalam keadaan ini, tekanan akan menyebabkan tubuh anda menghasilkan hormon kortisol dan apabila terlalu banyak, ia akan mengganggu jumlah penghasilan estrogen dan progesteron (iaitu hormon yang bertanggungjawab untuk haid).
Sememangnya kita mudah berasa resah apabila berada dalam keadaan tertekan. Sekiranya ia berlaku, cuba alihkan tumpuan anda dan berusahalah meluangkan masa untuk bersenam, berbual dengan kawan rapat atau menonton drama kegemaran anda. Jika perasaan ini berterusan, mengapa tidak dapatkan bantuan pakar kesihatan mental?
Adakah mungkin untuk mempunyai 2 kali haid dalam sebulan?
Anda mungkin fikir sekali haid dalam satu kitaran sudah mencukupi, tetapi rupanya ada kemungkinan haid anda datang menjenguk lebih daripada sekali sebulan. Walaupun ia bukanlah perkara biasa, namun dua kali haid atau lebih dalam sebulan boleh berlaku disebabkan ketidakseimbangan hormon yang dicetuskan oleh proses akil baligh, perimenopaus, kehamilan, melahirkan anak, penggunaan kontraseptif atau tekanan.
Sememangnya tiada wanita yang inginkan dua kali PMS yang sangat dekat antara satu sama lain, tetapi ia tidak semestinya menandakan ada sesuatu yang tidak kena – jika anda bimbang, disarankan pergilah berjumpa pakar sakit puan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan bantuan.
Mengapa haid saya kadang kala berhenti dan datang semula?
Pernahkah anda berasa lega kerana haid anda akhirnya habis untuk bulan itu, tetapi rupa-rupanya ia masih ‘berekor’ dengan kehadiran darah pada seluar dalam anda keesokan harinya? Ya, kita semua pernah mengalaminya dan ia boleh jadi sangat menjengkelkan. Namun, anda tidak perlu bimbang kerana haid yang berhenti dan bermula balik sebenarnya adalah perkara yang biasa berlaku.
Variasi aliran harian ini biasanya disebabkan oleh kehadiran sedikit tisu dari lapisan rahim yang menghalang serviks dan tidak membenarkan darah haid melaluinya. Biasanya halangan ini bersifat sementara dan sebaik sahaja tisu ini menemui jalan keluar, maka aliran haid anda akan muncul semula. Satu panduan berguna - sentiasa bawa pelapik seluar dalam atau tuala wanita ke mana anda pergi walaupun selepas haid anda berhenti, sebagai langkah berjaga-jaga!
Bagaimana pula jika haid saya tidak datang atau lewat?
Haid yang tidak datang sekali atau beberapa kali sama ada boleh merisaukan atau mengujakan (jika anda mencuba untuk hamil). Tetapi kerisauan ini akan mendorong anda untuk segera mencari puncanya supaya anda boleh bertenang dan mula berusaha menyelesaikan masalah itu (jika ada).
Tidak datang haid adalah salah satu tanda awal kehamilan. Jadi anda boleh mula mencari puncanya dari sini. Jika anda mengadakan hubungan seks yang tidak terlindung dalam beberapa minggu sebelum itu, buatlah ujian kehamilan atau berjumpa doktor.
Jika tidak, haid anda memang mungkin lewat.
Berapa lama haid boleh lewat?
Memang normal untuk haid berbeza dari bulan ke bulan, dan lewat beberapa hari; semuanya bergantung kepada tubuh setiap orang. Jadi, haid yang lewat atau tidak datang tidak semestinya menandakan anda hamil. Sama ada anda mempunyai kehidupan seksual yang aktif atau tidak, terdapat beberapa sebab lain berlakunya haid lewat atau tidak datang:
- Stres / Tekanan
- Penurunan berat badan yang mendadak
- Obesiti
- Senaman yang melampau
- Kontraseptif
- Menopaus
Adakalanya masalah kesihatan turut menyebabkan haid anda berhenti, seperti PCOS, penyakit jantung, kencing manis yang tidak terkawal, tiroid yang terlalu aktif atau menopaus pramatang. Jadi, jika haid anda tidak datang lebih daripada 3 kali berturut-turut, dan anda tidak hamil setelah melakukan ujian, maka anda perlu buat temujanji berjumpa doktor supaya mereka boleh memberi nasihat perubatan terbaik.
Adakah saya perlu lakukan sesuatu jika haid saya tidak teratur?
Pada asasnya anda tidak perlu bimbang jika haid anda tidak teratur, tidak datang atau lewat. Kitaran haid anda boleh terganggu disebabkan beberapa faktor tetapi ia biasanya akan kembali normal dengan sendiri – lagipun, tubuh kita memang cukup cekap membuat penyesuaian terhadap sebarang perubahan.
Apa yang anda boleh lakukan ialah mencatat tempoh masa dan kekerapan haid anda di dalam jurnal atau menggunakan aplikasi penjejak haid. Lebih banyak yang anda tahu tentang kitaran haid anda, lebih mudah untuk anda mengesan apabila benar-benar ada yang tidak kena.
Ada isu lain berkaitan haid yang ingin anda ketahui dengan lebih mendalam? Kunjungi halaman kami tentang masalah haid untuk pembacaan lanjut.
Peringatan perubatan
Maklumat perubatan dalam artikel ini disediakan sebagai sumber maklumat sahaja dan ia tidak boleh digunakan atau disandarkan untuk sebarang tujuan diagnosis atau rawatan. Sila dapatkan nasihat doktor anda untuk bimbingan tentang masalah kesihatan tertentu.
Teruskan belajar
