Illustration of a woman hugging a hot water bottle

Kita sering bertanya soalan ini – “mengapa haid menyakitkan”. Kami akan membincangkan punca dan simptomnya supaya anda benar-benar faham tentang senggugut

Perkara yang paling mengganggu dalam kitaran haid ialah apabila kita mengalami senggugut. Ketika sesetengah wanita menderita menahan kesakitan kekejangan haid, ada wanita yang tidak mengalami sebarang gejala langsung! Keadaan anda pula mungkin berbeza-beza dalam setiap kitaran.  Berita baiknya ialah terdapat banyak perkara yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan senggugut. Terlebih dahulu, mari kita fahami dan pelajari punca-punca senggugut dan apakah simptom yang perlu diperhatikan.

Jadi, apakah punca senggugut dan kekejangan haid atau menstruasi?

Kebanyakan wanita  –  kajian menyatakan sehingga 80% [1]  – mengalami kesakitan atau ketidakselesaan sebelum dan semasa mereka haid, jadi bukanlah anda seorang yang baring mengerekot di sofa atau menggunakan botor air panas pada waktu ini! Semasa anda haid, ada beberapa perkara berlaku yang menyebabkan keadaan ini. Uterus (rahim) anda mengecut untuk menanggalkan lapisan rahim dan pada masa sama, bahan kimia yang dipanggil prostaglandin akan menjadikan otot rahim anda lebih mengecut semasa haid. Prostaglandin juga boleh memberi kesan pengecutan yang sama pada usus dan sistem pencernaan anda, yang menyebabkan sembelit semasa haid dan tahi haid.
 
Terdapat punca lain yang turut menyebabkan kekejangan haid atau menstruasi. Contohnya, kadang-kala tekanan juga boleh mempengaruhi haid anda dengan memperhebatkan  simptom PMS termasuk senggugut. Walaupun ia kurang lazim, senggugut juga boleh disebabkan oleh masalah kesihatan, seperti  endometriosis, atau penggunaan kaedah kontraseptif contohnya alat dalam rahim (IUD).
 
Namun berita baiknya ialah jika anda tidak mengalami keadaan seperti disebut di atas, senggugut yang teruk akan berkurangan apabila anda meningkat usia dan juga selepas bersalin (jika anda memilih untuk mempunyai anak). [2]

Bagaimana rasanya sakit senggugut?

Senggugut boleh datang dalam bentuk kekejangan yang kuat sehingga membuatkan anda terasa seperti ditikam dari dalam dengan objek runcing, atau anda mungkin mengalami rasa sakit berdenyut yang berterusan di perut bawah. Rasa sakit ini datangnya dari kekejangan otot yang berlaku apabila otot rahim anda mengecut untuk menanggalkan lapisan rahim sebagai darah haid. Anda mungkin merasakan kesakitan ini pada abdomen anda, tetapi ia juga boleh merebak ke bahagian tubuh yang lain juga seperti di pinggang. 
 
Perkara yang mungkin normal adalah berbeza bagi setiap orang. Jadi, walaupun apa yang anda alami adalah normal bagi anda, tetapi ketahuilah bahawa pengalaman senggugut setiap orang itu tidak sama.  

Berapa lama tempoh senggugut?

Menunggu senggugut berakhir adakalanya benar-benar menguji kesabaran anda! Anda cuma ingin menjalani kehidupan seharian seperti biasa tetapi pada waktu ini fikiran hanya tertumpu pada denyutan sakit di perut anda.
 
Tiada jangka masa yang pasti berapa lama senggugut anda akan berlarutan, tetapi biasanya ia bermula pada hari pertama haid dan berkurangan selepas beberapa hari. Bagaimanapun, oleh kerana tiada panduan umum untuk tempoh senggugut, kekejangan ini biasa juga dialami beberapa hari sebelum haid dan ia boleh berlaku selama satu jam sahaja atau berlarutan sepanjang tempoh haid anda  –  malangnya kita tidak mampu mengawalnya!  
 
Anda mungkin menyedari bahawa senggugut ini paling sakit ketika anda mengalami pendarahan yang paling banyak, jadi gunakan maklumat ini untuk membantu memantau kekejangan haid anda. Selain itu, biasanya sakit senggugut ketika remaja adalah yang paling teruk, dan apabila umur anda semakin meningkat, kesakitan dan ketidakselesaan ini akan berkurang.

Apakah simptom-simptom senggugut?

Walaupun anda mungkin mengaitkan senggugut dengan kawasan abdomen (perut), anda juga boleh mengalami rasa sakit di beberapa bahagian tubuh yang lain. Ini termasuklah:
  • Pelvis 
  • Belakang
  • Paha
  • • Perut
Illustration of where period pain can occur
Tahap kekejangan haid ini berbeza bagi setiap wanita. Ia boleh datang dalam bentuk sakit yang ringan sehinggalah kepada sakit yang lebih teruk. Bahkan ia juga boleh diterjemahkan kepada simptom-simptom berikut:
  • Muntah
  • Pening
  • Sakit kepala
  • Najis cair 
  • Keletihan
  • Kembung perut

Apa yang perlu dilakukan jika saya mempunyai senggugut yang berlarutan atau sangat teruk?

Jika anda telah cuba meredakan simptom dengan mengambil ubat tahan sakit atau menggunakan kaedah bantu diri yang lain tetapi masih dibelenggu masalah senggugut, maka sudah tiba masanya anda berjumpa doktor – terutama jika anda mengalami senggugut yang teruk atau berlarutan, atau apabila pola haid anda yang normal tiba-tiba berubah.

Peringatan perubatan

Maklumat perubatan dalam artikel ini disediakan sebagai sumber maklumat sahaja dan ia tidak boleh digunakan atau disandarkan untuk sebarang tujuan diagnosis atau rawatan. Sila dapatkan nasihat doktor anda untuk bimbingan tentang masalah kesihatan tertentu.


[Rujukan]

Terus belajar