Girl in pink dress sat on the toilet having a period poop

Pernahkah anda menyedari bahawa terdapat kelainan pada najis anda apabila anda datang haid? Anda tidak bersendirian. Memang normal untuk menyedari perubahan pada konsistensi, kekerapan dan bau najis anda apabila anda haid, atau mengalami ‘sembelit ketika haid’. Di sini kami kongsikan mengapa ia terjadi, dan apakah yang anda boleh lakukan.

Mengapa haid mempengaruhi najis anda?

Sepanjang kitaran haid anda, jumlah hormon di dalam badan anda akan berubah-ubah. Sebelum haid anda bermula, paras hormon progesteron adalah tinggi sebagai persediaan  kemungkinan berlaku kehamilan. Kemudian, semasa haid, tubuh anda akan meningkatkan paras sebatian prostaglandin, dan pada masa sama mengurangkan jumlah progesteron. Prostaglandin menggalakkan otot anda untuk mengecut bagi membantu memecahkan lapisan rahim. [1]
 
Jadi, bagaimana ia boleh melibatkan najis? Sebenarnya, kedua-dua progesteron dan prostaglandin boleh mempengaruhi najis anda. Walaupun prostaglandin mensasarkan uterus atau rahim anda, namun jika tubuh anda menghasilkan lebih daripada diperlukan, prostaglandin boleh memasuki saluran darah dan memberi kesan yang serupa pada otot-otot lain, termasuklah usus dan organ pencernaan lain yang berdekatan – menyebabkan anda lebih kerap ke tandas. Paras progesteron yang rendah juga boleh menyebabkan anda lebih kerap buang air besar, atau mengakibatkan anda mengalami cirit-birit.

Mengapa saya mengalami sembelit sebelum haid?

Satu lagi ciri hormon progesteron ialah ia boleh menyebabkan kesan sembelit pada tubuh anda. Apabila terkumpul dalam tubuh, ia boleh memperlahankan sistem pencernaan anda. Inilah sebabnya anda mungkin mengalami masalah sembelit dalam beberapa hari sebelum haid – perut anda mungkin terasa sakit, dan anda jarang buang air, manakala najis anda kelihatan seperti ketulan kecil, atau sosej yang berketul-betul. Keinginan terhadap makanan yang disebabkan oleh PMS, khususnya terhadap makanan berlemak dan kurang serat akan turut menyumbang kepada masalah ini.
 
Masalah kesihatan tertentu seperti Sindrom Usus Rengsa (IBS), endometriosis ataupun sekadar mengalami haid yang menyakitkan boleh menyebabkan anda lebih cenderung mendapat sembelit, terutama dalam beberapa hari pertama haid anda. Bahkan, selain  berdepan masalah sembelit, adalah normal untuk anda turut mengalami kembung perut dan pertambahan berat badan semasa kitaran haid anda. 

Mengapa tahi haid berbau sangat busuk?

Sisi lain PMS ialah ia mendorong anda untuk mempunyai tabiat makan yang menarik. Progesteron boleh menyebabkan anda teringin menikmati makanan yang luar biasa, atau makan secara berlebihan. Perubahan dalam diet anda inilah yang mengakibatkan najis dan kentut berbau busuk.  
 
Untuk mengatasi bau busuk ini, cubalah menahan diri daripada makan berlebihan dan terutama sekali elakkan pengambilan gula serta makanan berproses. Pun begitu, jika PMS membuatkan anda teringin makan coklat, penunilah sahaja keinginan anda itu!
 
Untuk pengetahuan anda, darah haid memang mempunyai bau tersendiri - bau inilah yang anda hidu dan ia adalah normal. Usah bimbang kerana orang lain tidak dapat menghidu bau itu, dan ia menandakan faraj (vagina) yang sihat, jadi anda tidak perlu berasa malu. Faraj dan bau faraj (vagina) setiap wanita adalah berbeza – seperti bau pakaian anda yang tidak sama dengan pakaian rakan anda kerana anda menggunakan serbuk pencuci dan pewangi yang berlainan juga!  Jika anda berasa risau, anda bolehlah menggunakan tuala wanita yang wangi seperti Libresse Green Tea Range yang mempunyai wangian teh hijau untuk membuatkan anda berasa segar.

Apa yang anda boleh lakukan untuk menangani isu tahi haid?

Tidak ada cara untuk mengelakkannya – kerana semua orang pun buang air besar. Jadi, mempunyai najis yang anda rasa berbau pelik sedikit semasa datang haid bukanlah perkara yang memalukan. 
 
Jika anda mengalami cirit-birit yang berkaitan dengan haid (bermakna najis anda menjadi lembik atau cair), anda boleh mengambil ubat anti keradangan bukan steroid seperti ibuprofen sejurus sebelum haid anda bermula untuk menyekat penghasilan prostaglandin dan mengurangkan cirit-birit . Ia seharusnya boleh membantu mengurangkan senggugut dengan meredakan kekejangan otot. Untuk mengatasi masalah sembelit, makan lebih banyak makanan berkhasiat yang tinggi serat. Anda boleh mengambil salad buah-buahan dengan beri yang enak, ditaburi kekacang dan bijian, atau roti bijirin penuh dengan sapuan kegemaran anda. 
 
Sekiranya anda mengalami rasa sakit yang teruk, sebaiknya pergilah berjumpa doktor kerana masalah kesihatan tertentu seperti endometriosis atau IBS boleh meningkat semasa anda haid.
Masalah tahi haid dan sembelit ketika haid juga boleh menimbulkan ketidakselesaan, namun anda tidak perlu terlalu memikirkannya, kerana ramai orang juga mengalami keadaan ini. Pada masa sama, teruslah belajar memahami kitaran haid anda.

Peringatan perubatan

Maklumat perubatan dalam artikel ini disediakan sebagai sumber maklumat sahaja dan ia tidak boleh digunakan atau disandarkan untuk sebarang tujuan diagnosis atau rawatan. Sila dapatkan nasihat doktor anda untuk bimbingan tentang masalah kesihatan tertentu.
 

[Rujukan]

Terus belajar