4 teaspoons in different colours to represent measuring the amount of blood lost during a period

Darah haid terlalu banyak atau menorrhagia adalah keadaan biasa yang dialami ramai wanita. Walaupun kita tidak menginginkan aliran “Air Terjun Niagara” ini, ia biasanya tidak perlu dibimbangkan. Sekarang mari kita lihat isu ini dengan lebih dekat.

Sama seperti perkara lain yang berkaitan dengan kitaran bulanan kita, jumlah darah haid atau ‘period’ berbeza bagi setiap orang. Malah bagi individu yang sama, aliran haid mereka juga berubah dari satu kitaran ke kitaran seterusnya; kadang kala haidnya cuma tompokan darah coklat manakala aliran pada bulan yang lain pula seolah-olah tidak berkesudahan. Pendarahan haid yang terlalu banyak ini dikenali sebagai menorrhagia dan walaupun bunyinya menakutkan, namun anda tidak perlu panik.
 
Jika aliran haid anda biasanya lama, banyak, atau kedua-duanya, maka belajarlah cara untuk menanganinya dengan menggunakan sama ada produk haid yang tepat atau mencari kaedah tersendiri supaya ia dapat menenangkan fikiran dan menjadikan anda berasa lebih selesa. Jika anda tertanya-tanya apakah aliran anda itu banyak, biasa, sedikit atau di tengah-tengah, maka teruskanlah membaca untuk mengetahuinya.

Pendarahan banyak mana yang dikatakan normal?

Jika anda pernah melihat tuala wanita  atau tampon ketika ia dikeluarkan, dan terfikir anda mungkin mempunyai cukup darah untuk memenuhkan kolam renang, anda sebenarnya tidak bersendirian  –  tetapi, anggapan ini tidak tepat. Secara purata, kebanyakan daripada kita hanya mengeluarkan 2 hingga 3 sudu besar darah (30-40ml). [1] Ini bermakna kita selalu anggap jumlah darah haid kita lebih banyak daripada yang sebenarnya. Jadi, aliran yang dirasakan seperti banyak itu mungkin sebenarnya adalah aliran yang normal. 

Keadaan bagaimana dikira sebagai haid yang banyak

Sebaliknya, aliran sebanyak 5 sudu besar (80ml) atau yang berterusan melebihi 7 hari tidak dianggap normal. [2] Anda mungkin tidak mempunyai masa atau peralatan untuk mengumpulkan semua darah haid anda dan mengukurnya. Mujurlah kini terdapat beberapa kaedah untuk mengetahui sama ada haid anda itu banyak. Contohnya, jika darahnya cukup untuk meresap penuh ke dalam tuala wanita atau tampon selama beberapa jam berturut-turut. [3] Selain itu, haid yang banyak juga cenderung mempunyai darah beku yang kental (serpihan tisu berdarah) dan/atau berlaku kebocoran sehingga mengotorkan baju atau cadar walaupun menggunakan produk haid.

Apa punca haid yang banyak?

Secara ringkasnya, tiada jawapan mudah kepada punca haid yang banyak. Tiada masalah kesihatan ditemui pada kira-kira separuh daripada wanita yang mengalami aliran haid begini. [4] Tetapi terdapat beberapa sebab yang mungkin menerangkan keadaan haid anda yang banyak ini:

Masalah hormon

Masalah yang menyebabkan ketidakseimbangan hormon boleh menjejaskan aliran haid anda. Ini kerana hormon (terutama estrogen dan progesteron) pada asasnya mengawal semua perkara yang berkaitan dengan haid anda, jadi jika ada yang tidak kena dengannya, maka aliran bulanan anda akan turut berubah. Keadaan seperti PCOS, endometriosis, masalah tiroid dan stres juga boleh menyebabkan haid menjadi lebih lama dan/atau lebih banyak.

Masalah kesihatan lain dan rawatan perubatan

Pada asasnya haid adalah lapisan tambahan pada rahim yang keluar melalui faraj (vagina).  Ini bermakna masalah kesihatan lain yang menyebabkan pertumbuhan dalam rahim seperti fibroid atau polip juga boleh mengakibatkan haid yang banyak. Keadaan yang sama berlaku dengan penggunaan sesetengah jenis kaedah pencegahan kehamilan seperti IUD kuprum yang menjadikan haid lebih banyak untuk 3 hingga 6 bulan pertama selepas dimasukkan, sebelum ia terlaras sendiri.

Apa yang perlu saya lakukan jika dirasakan haid saya lebih banyak daripada biasa?

Hanya kerana aliran haid dirasakan lebih banyak daripada yang sebenarnya, tidak bermakna ia tidak mengganggu perjalanan kehidupan seharian kita. Ramai daripada kita pernah melalui pengalaman ini: sentiasa memeriksa seluar di cermin atau berasa panik apabila terjaga di tengah malam, dan menarik nafas lega apabila menyedari haid kita berubah sedikit. Anda mungkin pernah membatalkan banyak rancangan, semata-mata kerana bimbang berlaku keadaan yang tidak diingini. Walaupun sains belum menemui cara untuk menghentikan haid mengikut kehendak kita, ada beberapa perkara yang anda boleh cuba bagi memudahkan hari anda apabila dirasakan haid lebih banyak berbanding biasa.

Dengar kehendak tubuh anda

Walaupun haid yang banyak adalah perkara biasa dan bukan disebabkan oleh masalah kesihatan, adalah penting untuk anda memantau turun naik aliran haid ini. Catatkan tempoh kitaran haid dalam buku nota atau gunakan aplikasi atau alat penjejak haid yang boleh membantu anda melihat sebarang perubahan mendadak pada haid anda. Jika anda rasakan haid anda tiba-tiba berbeza dan mengalami simptom PMS melampau yang jarang berlaku, maka pergilah berjumpa doktor untuk mendapatkan pandangan perubatan – walaupun ia mungkin tiada apa-apa, tentu kita akan berasa lebih tenang apabila yakin bahawa semuanya ‘ok’. 

Gunakan tuala wanita dan produk haid lain yang direka khas untuk haid yang banyak

Mencari produk haid terbaik yang tepat untuk anda dan aliran anda memang mencabar terutama yang menjadikan anda berasa santai dan selesa semasa datang haid. Jadi, sama ada anda perlu bereksperimen dengan tuala wanita atau tampon yang berbeza tahap penyerapannya, atau mencuba tuala wanita bersayap untuk dakapan yang lebih kemas, menemui produk haid yang membuatkan anda selesa serta membantu menguruskan aliran haid anda akan membawa perubahan yang cukup besar apabila berhadapan dengan haid yang banyak.

Minta nasihat doktor

Meskipun dalam kebanyakan kes haid anda dirasakan lebih banyak daripada keadaan sebenar, namun anda mungkin benar-benar mempunyai aliran haid yang banyak. Jika anda selalu mengalami kebocoran sehingga mengotorkan baju atau cadar tilam meskipun menggunakan produk-produk haid atau anda sering melihat adanya ketulan darah apabila datang haid, maka buatlah temujanji untuk berjumpa doktor. Anda mungkin diberitahu tiada apa-apa yang tidak kena untuk dibimbangkan, tetapi jika ia menyebabkan anda tertekan atau mengganggu perjalanan hidup anda, pertemuan dengan doktor akan sangat membantu dan membolehkan anda bertenang.
 
Aliran haid setiap orang berubah-ubah sepanjang hayat mereka; daripada haid pertama hinggalah perimenopaus dan setiap peringkat di antaranya! Memang adakalanya kita kecewa apabila menguruskan aliran haid yang banyak, tetapi mempelajari soal haid dengan lebih mendalam dan dapat mengesan jika ada sesuatu yang tidak kena akan membuatkan anda rasa lebih tenang kerana mengetahui keadaan diri anda. Ingat, kita akan jadi mahir jika banyak berlatih –  jadi, biasakan diri dengan aliran haid anda. Mempelajari cara terbaik untuk menguruskan haid anda akan memberi manfaat dalam jangka masa panjang. Sekiranya anda bimbang (tidak kiralah berapa besar pun kebimbangan anda), anda boleh terus berjumpa doktor dan mendapatkan nasihat perubatan.

Peringatan perubatan

Maklumat perubatan dalam artikel ini disediakan sebagai sumber maklumat sahaja, ia tidak boleh digunakan atau disandarkan untuk sebarang tujuan diagnosis atau rawatan. Sila dapatkan nasihat doktor anda untuk bimbingan tentang masalah kesihatan tertentu.
 

[Rujukan]

Terus belajar