Kehamilan dan haid anda – bagaimana ia bertindak?
Haid adalah pemberitahuan semulajadi yang menandakan tubuh kita bersedia untuk hamil. Tetapi apa yang berlaku pada haid apabila anda hamil? Kami akan berikan maklumat asas supaya anda faham hubungan antara haid dan kehamilan.
Sama ada anda gembira meraikan ketiadaan haid selama sembilan bulan atau akan merinduinya, ‘cuti’ daripada haid merupakan perkara semulajadi sewaktu hamil – dan menjadi antara tanda pertama yang anda bakal menimang cahaya mata!
Kehamilan membawa banyak pengalaman yang berbeza; sebagai permulaan, ada kehidupan baru yang berkembang di dalam rahim anda, selain perubahan pada tubuh, dan ini termasuklah kitaran haid anda. Mari kita lihat dengan lebih dekat bagaimana kehamilan mempengaruhi haid anda dan bagaimana haid anda boleh mempengaruhi kehamilan, supaya anda lebih bersedia apabila tiba waktunya.
Bolehkah anda hamil semasa haid
Secara teknikalnya, boleh. Anda boleh hamil pada bila-bila masa dalam kitaran haid anda dan ini termasuklah apabila anda sedang haid. Walaupun peluangnya agak tipis, tetapi sperma boleh hidup dalam tubuh anda sehingga lima hari – jadi hanya kerana rahim anda sibuk dengan aliran bulanan anda, tidak bermakna tiada ruang untuk bayi! [1] Pada asasnya, jika anda mengadakan hubungan seks semasa haid yang tidak terlindung dan haid anda yang seterusnya lewat, sebaiknya buatlah ujian kehamilan.
Walaupun anda boleh hamil ketika kedatangan haid, tetapi kadar kejayaannya tidak setinggi waktu lain dalam kitaran anda. Ini bermakna jika anda mencuba untuk menimang cahaya mata, peluang anda akan meningkat dengan mengadakan hubungan seks yang tidak terlindung semasa ovulasi (apabila telur dikeluarkan dari ovari). Jika anda tidak pasti bila waktunya, secara kasarnya dianggarkan pada hari ke-11 dan ke-21 dalam kitaran anda.
Adakah haid akan berhenti terus apabila anda hamil?
Jawapan ringkasnya, ya. Aliran bulanan anda akan ‘bercuti’ sepanjang kehamilan dan tidak akan muncul sehinggalah selepas anda bersalin – malah haid pospartum mungkin mengambil sedikit masa untuk bermula. Ketiadaan haid ketika hamil ini berlaku kerana rahim mengekalkan lapisannya bagi mewujudkan rumah yang selesa untuk bayi anda membesar. Sekiranya sperma tidak mensenyawakan telur anda, lapisan ini akan dikeluarkan melalui faraj (vagina) sebagai darah – iaitu darah haid anda!
Tompok berwarna coklat semasa awal kehamilan
Walaupun haid tidak datang semasa kehamilan, tetapi anda mungkin mengalami perkara yang hampir serupa pada peringkat awal, yang dikenali sebagai pendarahan implantasi.
Implantasi biasanya berlaku sekitar 6-12 hari selepas anda mengadakan hubungan seks yang tidak terlindung dan ia adalah proses di mana telur yang disenyawakan melekat sendiri pada lapisan rahim. [2] Apabila tubuh anda melalui proses ini, salur darah halus pada dinding rahim boleh pecah dan ia mencetuskan pendarahan yang sangat sedikit dan pendek tempohnya; yang kelihatan seperti tompok kecil pada seluar dalam anda – inilah sebabnya ia sering dirujuk sebagai “tompok”.
Jadi, meskipun proses ini masih melibatkan pengeluaran darah melalui faraj (vagina), ia bukanlah disebabkan oleh hormon seperti haid yang biasa. Bahkan anda juga mungkin menyedari warna darah ini berbeza sedikit daripada darah haid: ia biasanya berwarna coklat karat atau merah jambu pudar.
Bagaimana jika saya mengalami lebih banyak tompok kotor semasa hamil?
Sebarang tompokan selain pendarahan implantasi pada permulaan kehamilan perlu diperiksa oleh doktor atau pakar sakit puan, kerana ia boleh menandakan adanya masalah. Walaupun tidak semua titisan darah pada seluar dalam anda menandakan wujudnya masalah, namun lebih baiklah jika anda mengambil langkah selamat. Memandangkan kehamilan itu secara amnya adalah tempoh yang menggembirakan, tiada kebimbangan (tidak kiralah sekecil mana) yang boleh dianggap ringan untuk berjumpa pakar perubatan – walaupun ia sekadar untuk menenangkan fikiran!
Peringatan perubatan
Maklumat perubatan dalam artikel ini disediakan sebagai sumber maklumat sahaja dan ia tidak boleh digunakan atau disandarkan untuk sebarang tujuan diagnosis atau rawatan. Sila dapatkan nasihat doktor anda untuk bimbingan tentang masalah kesihatan tertentu.