Bagaimakah bau faraj (vagina) saya yang sepatutnya?
Pernahkah anda perasan bau faraj (vagina) yang hanyir? Atau anda tercium bau yang agak busuk atau seperti logam dari faraj (vagina) anda? Ini semua adalah bau faraj (vagina) yang biasa. Mari kita ketahui apa maknanya…
Mungkin sukar untuk dipercayai, tetapi setiap faraj (vagina) mempunyai bau yang berbeza dan, pastinya tidak seharum mawar atau buah – kerana ia tidak sepatutnya berbau begitu.
Bau faraj (vagina) dikawal terutamanya oleh pH faraj (vagina) anda – masih ingat perkara yang anda belajar tentang pH dalam kelas kimia? Konsep yang sama terpakai untuk faraj (vagina) anda juga! Jika pH faraj (vagina) anda tidak seimbang (sama ada lebih berasid atau beralkali daripada pH faraj (vagina) yang optimum), maka ia mempengaruhi kehadiran bakteria semula jadi dalam faraj (vagina) anda dan kadang kala boleh menyebabkan bau yang kurang menyenangkan.
Apabila faraj (vagina) anda menghasilkan cecair dalaman seperti keputihan, atau cecair rangsangan, ia akan pindahkan ke bahagian luar faraj (vagina). Ketika aliran dalaman ini dikeluarkan anda mungkin menyedari adanya sedikit bau. Anda mungkin dapat menghidu bau ini semasa menukar seluar dalam, ketika mahu mandi atau tatkala anda berehat di sofa! Ada harinya anda boleh menghidu sesuatu dan ada kala anda tidak dapat menghidu apa-apa bau langsung - dan ini adalah perkara normal. Jangan bimbang jika faraj (vagina) anda berbau pelik sedikit; kerana ketidakseimbangan pH faraj (vagina) boleh dipulihkan dengan mudah. Ada kala mungkin beberapa kawasan pada Zon-V anda, seperti vulva dan bahagian depan berbentuk V yang boleh dilihat di cermin (iaitu tempat tulang pubik dan bulu ari-ari) berpeluh sedikit, atau boleh jadi ia memang bau semula jadi anda! Faraj (vagina) mempunyai kebolehan unik untuk mengekalkan ekosistem istimewanya sendiri yang terdiri daripada bakteria “baik” dan “tidak baik”, jadi biasanya anda tidak perlu bimbang kecuali bau faraj (vagina) yang kuat itu berlarutan.
Teruskan membaca untuk mengetahui apakah makna beberapa bau faraj (vagina) yang paling biasa, supaya anda dapat mengesan dan memahami mengapa faraj (vagina) anda kadang kala berbau begitu.
Mari kita kenali beberapa bau faraj (vagina) yang biasa
Hanyir
Ketidakseimbangan pH faraj (vagina) boleh menyebabkan jangkitan yang dipanggil vaginosis bakteria (singkatannya, BV). BV boleh mengeluarkan bau hanyir, selain keputihan [1] berwarna putih pudar yang cair. Jadi, jika anda mengalami simptom-simptom ini, ada kemungkinan anda mendapat jangkitan BV.
Jangkitan faraj (vagina) mungkin kedengaran menakutkan, tetapi anda tidak perlu risau kerana ia mudah dirawat dengan antibiotik. Sekiranya anda mengesyaki mengalami BV, pergilah berjumpa doktor supaya anda boleh diberikan ubat yang diperlukan.
Berlogam
Pernahkah anda terhidu bau berlogam, seperti kuprum dari darah apabila jari anda terluka? Sebenarnya faraj (vagina) anda juga boleh mempunyai bau yang sama, dari darah haid anda! Secara umumnya darah mengandungi banyak zat besi, jadi apabila lapisan dalam rahim anda gugur sebagai darah semasa menstruasi atau haid, maka adalah normal untuk faraj (vagina) anda mempunyai bau logam. Pun begitu, bau ini hanya akan muncul apabila anda datang haid, dan hilang selepas habis haid.
Busuk
Kita semua pernah membiarkan makanan terlalu lama berada di luar peti sejuk dan baunya memang tidak menyenangkan! Jika faraj (vagina) anda berbau seperti makanan busuk yang melepasi tarikh penggunaannya, mungkin anda terlupa mengeluarkan tampon yang anda pakai. Tampon yang berada lama dalam faraj (vagina) boleh menyebabkan bau yang kuat dan tajam.
Ini kerana semua darah dan lelehan faraj (vagina) yang diserap oleh tampon dan terperangkap dalam faraj (vagina) menyediakan persekitaran sesuai untuk bakteria berbau busuk membiak [2]. Kami tahu ada kalanya kita terlupa apabila memakai tampon, jadi, usahakan untuk membuat pemantauan; sama ada dengan menetapkan jam penggera atau peringatan di telefon anda, atau menulis nota setiap kali anda memasukkan tampon.
Perlu diingat juga, apabila membiarkan tampon terlalu lama akan mendedahkan anda kepada risiko kesihatan yang lebih serius iaitu sindrom kejutan toksik. Jadi jika anda tidak dapat mengeluarkan tampon yang dipakai, pastikan anda segera berjumpa pakar perubatan supaya ia boleh dikeluarkan. Doktor dan jururawat pernah berhadapan dengan banyak kes sebelum ini, jadi yakinlah bahawa mereka tahu cara mengendalikan hal begini sebaiknya!
Seperti bahan kimia
Kadang kala faraj (vagina) anda mungkin berbau seperti bahan kimia atau peluntur. Walaupun bau faraj (vagina) yang seperti produk pencuci menimbulkan kebimbangan pada awalnya, namun bau ini sebenarnya disebabkan oleh saki baki air kencing. Meskipun tiada air kencing yang keluar dari faraj (vagina), kadang kala apabila anda mengesatnya, sedikit saki baki air kencing boleh dipindahkan ke kawasan Zon-V yang umum (faraj (vagina), vulva dan bahagian depan bentuk-V yang anda boleh lihat).
Secara semula jadi air kencing mengandungi ammonia, yang memberikan ia sedikit bau bahan kimia [3]. Jumlah ammonia dalam air kencing anda akan meningkat apabila anda mengalami dehidrasi, yang menyebabkan baunya lebih kuat – jadi, ingat untuk minum banyak air!
Bagaimana cara untuk menghilangkan bau faraj (vagina)
Kadang kala bau faraj (vagina) anda berbeza sedikit daripada biasa dan anda mungkin tidak perasan pun! Tetapi jika anda perasan, pastinya anda akan berasa malu atau tidak selesa. Walaupun kita dan rakan-rakan boleh ketawa dengan bau badan masing-masing selepas bersenam di gimnasium, tetapi dalam soal bau faraj (vagina), ia sama sekali berbeza. Apatah lagi untuk memperincikan tentang faraj (vagina) anda - topik yang sangat peribadi; menjadikan kadang kala sukar untuk membincangkan perkara ini dengan orang lain.
Bagaimanapun, amat penting untuk bertanyakan hal ini kepada seseorang yang anda percayai seperti kawan rapat, saudara atau pakar perubatan, kerana mereka boleh memberikan anda sokongan dan nasihat yang diperlukan untuk membuatkan anda berasa lebih selesa.
Selain itu, seperti yang kami nyatakan, faraj (vagina) anda sepatutnya mempunyai bau semula jadi! Kombinasi unik bakteria di dalam faraj (vagina) anda akan menghasilkan bau yang unik dan ia menandakan bahawa faraj (vagina) anda sihat! Cubalah untuk tidak menjejaskan pH faraj (vagina) anda dengan menghentikan penggunaan produk berharuman dan elakkan sepenuhnya daripada mencuci dalaman faraj (vagina) anda, kerana ia bukan sahaja mengganggu bakteria semula jadi di dalamnya, tetapi ia juga boleh menyebabkan faraj (vagina) anda berbau busuk. Ini kerana anda telah menjejaskan bakteria semula jadi dalam faraj (vagina), mengakibatkan pH faraj anda jadi tidak seimbang dan menghasilkan bakteria yang berbau busuk.
Perkara terbaik untuk dilakukan ialah membiarkan faraj (vagina) anda melakukan pembersihan kendiri. Anda boleh membantu proses ini dengan membiarkannya sahaja, selain kerap menukar produk haid atau pelapik seluar dalam, memakai seluar dalam kain kapas yang bersih dan menggunakan sabun intim untuk kawasan luar Zon-V sahaja. . Anda juga dinasihatkan untuk minum banyak air dan membersihkan diri selepas bersenam, walaupun penat sepanjang hari (tetapi ingat, jangan lakukan pembersihan dalaman faraj (vagina)). Bahkan, siapalah yang tidak suka jika kita sentiasa ada alasan untuk mempunyai sesi mandian yang menenangkan - atau jika bilik mandi tiada, anda boleh menggunakan tisu untuk bahagian intim!
Jadi lain kali apabila anda fikir faraj (vagina) anda mungkin berbau, jangan cemas – semua faraj (vagina) memang mempunyai bau semula jadi (bau anda itu unik, seunik diri anda juga!) – yang menandakan ia sihat.
Peringatan perubatan
Maklumat perubatan dalam artikel ini disediakan sebagai sumber maklumat sahaja dan ia tidak boleh digunakan atau disandarkan untuk sebarang tujuan diagnosis atau rawatan. Sila dapatkan nasihat doktor anda untuk bimbingan tentang masalah kesihatan tertentu.