Macam-macam benda boleh muncul pada vulva anda – mana tidaknya, ia adalah salah satu bahagian yang paling sensitif pada tubuh anda. Mari kita lihat kepada beberapa contoh, seperti masalah kulit gatal, ruam, jerawat dan dermatitis pada kawasan faraj (vagina), jadi lain kali jika anda menyedari ada perubahan, anda tahu apakah yang muncul di situ.

Apabila anda ke tandas, mandi atau melakukan masturbasi, adalah normal untuk melihat sekilas dan meneroka Zon-V  anda (faraj (vagina), vulva dan bahagian depan berbentuk V yang anda boleh lihat). Sebenarnya lebih kerap anda melihat kawasan ini, lebih baik, supaya anda boleh mengenalpasti keadaan yang normal untuk anda dan dengan itu, mudah mengesan jika ada sesuatu yang tidak kena. Mungkin anda menyedari beberapa benjolan atau bintik putih pada vulva anda, atau kulit di sekeliling bukaan faraj (dipanggil labia) kelihatan radang sedikit.
 
Memang normal kalau kita berasa agak risau apabila melihat sesuatu yang tidak kena pada tubuh kita, tetapi tahukah anda bahawa kebanyakan benjolan, ketulan dan gatal-gatal pada Zon-V bukanlah menandakan masalah yang serius –  jadi anda tidak perlu kalut membuat carian di Internet untuk menggali punca masalah ini hingga ke lubang cacing! Vulva, faraj (vagina), dan kawasan kemaluan adalah bahagian tubuh yang sensitif, jadi kadang kala perubahan yang paling kecil pun boleh mengganggu kulit dan menyebabkan ia bertindak balas. Walaupun masalah kulit ini adalah perkara biasa dan bersifat sementara, namun adakalanya ia menyebabkan kita berasa sangat tidak selesa.
 
Namun seperkara yang anda perlu ingat adalah, walaupun kebanyakan orang memanggil semua bahagian intim kita sebagai “faraj”, tetapi sebenarnya faraj (vagina) adalah bahagian saluran pada Zon-V anda. Jadi apa yang anda lihat di luar adalah vulva dan kawasan kemaluan.
 
Mari kita lihat dengan lebih dekat apa yang mungkin anda dapati di Zon-V anda, supaya anda boleh mengenali sebarang simptom dan tahu bila perlu berjumpa doktor.

Jerawat di sekitar kawasan faraj (vagina)

Anda mungkin mengesan benjolan kecil di dalam dan sekitar kawasan faraj dan tertanya-tanya dari mana ia datang. Benjolan atau ketulan kecil ini biasanya disebut sebagai jerawat faraj (vagina), kerana ia kelihatan agak serupa dengan jerawat di muka anda. Bagaimanapun, secara teknikalnya ia bukanlah jerawat dan biasanya muncul di sekitar kawasan tulang pubik dan vulva, bukannya di dalam faraj (vagina).
 
Jom kita kenali apakah sebenarnya benjolan atau ketulan kecil itu:

Bulu cekam

Membuang bulu kemaluan adalah pilihan peribadi: ada orang suka mencukurnya, ada pula yang selesa dengan kehadirannya. Bagi yang suka mencukurnya, anda mungkin secara tidak sengaja membenarkan bakteria memasuki folikel rambut ketika proses membuang bulu kemaluan atau bulu ari-ari dilakukan. Ini boleh menyebabkan kemunculan benjolan merah yang kecil atau pustul di tempat yang asalnya ditumbuhi bulu ari-ari. [1]
 
Nama saintifik untuk keadaan ini ialah folikulitis (keradangan folikel rambut), tetapi biasanya dikenali sebagai benjolan cukur kerana lazimnya ia disebabkan oleh pisau cukur – walaupun tidak selalunya begitu. Peliknya, bukan membuang bulu ari-ari sahaja yang boleh menyebabkan bakteria memasuki folikel rambut; memakai seluar dalam yang ketat, berpeluh, kerap menggaru atau menggosok kulit anda, atau sebarang geseran kulit juga boleh mengakibatkan kemunculan benjolan kecil ini. 
 
Jadi sekarang anda tahu apa yang perlu dilakukan untuk mengelakkan kemunculan bulu cekam. Anda boleh mempertimbangkan untuk menukar seluar dalam atau berhenti mencukurnya buat seketika supaya kulit anda dapat berehat. Berita baiknya, benjolan ini biasanya hilang sendiri, jadi biarkan sahaja. Elakkan daripada memicitnya, kerana ia boleh menyebabkan benjolan menjadi lebih teruk!

Dermatitis kontak atau ekzema

Dermatitis kontak atau ekzema berlaku apabila kulit anda tersentuh bahan kimia tertentu yang menyebabkan ia bertindak balas. Kadang kala ia disebabkan produk seperti sabun, pencuci pakaian, fabrik atau minyak wangi. Bahan-bahan ini boleh mengubah pH faraj (vagina) anda), menyebabkan kekeringan  dan/atau kerengsaan umum (inilah sebabnya anda tidak boleh mencuci bahagian dalaman faraj (vagina) anda!). Ia juga mungkin merengsakan kulit vulva anda, yang mengakibatkan benjolan seperti jerawat yang terasa gatal dan/atau sakit. [2]
 
Untuk menghentikan dermatitis kontak, mulakan dengan puncanya: adakah ia disebabkan oleh sabun yang anda gunakan setiap hari? Atau mungkin pelembut fabrik atau pun jenis seluar dalam yang anda pakai? Sebaik mengetahui puncanya, berhentilah menggunakan produk tersebut dengan harapan anda dapat mengelakkan kerengsaan selanjutnya. Oleh kerana anda perlu melakukan perubahan, maka anda ada alasan untuk keluar membeli seluar dalam yang baharu atau mencuba pencuci Zon-V untuk kulit sensitif yang istimewa! Pada masa sama, penggunaan pek ais atau tekapan sejuk boleh membantu meredakan sebarang keradangan.

Jangkitan penyakit kelamin (STI)

Benjolan, kegatalan dan kemerahan pada dan sekitar vulva juga adalah simptom biasa bagi kebanyakan jangkitan penyakit kelamin (STI). Herpes, ketuat genital, sifilis dan molluscum contagiosum semuanya menyenaraikan benjolan atau rasa sakit sekitar kawasan vulva sebagai salah satu simptom jangkitan. [3]
 
STI memang kedengaran menakutkan dan walaupun ia boleh dielak dengan mengamalkan seks yang selamat, tetapi kadang kala ia tetap berlaku – untuk memberi gambaran kepada anda, lebih 1 juta jangkitan berlaku di seluruh dunia setiap hari. [4] Mujurlah kebanyakannya boleh dirawat dengan ubat-ubatan. Jika baru-baru ini anda mengadakan hubungan seks tanpa perlindungan dan mengalami kegatalan berterusan atau ketidakselesaan atau ada benjolan di sekitar vulva anda, segeralah berjumpa pakar ginekologi atau doktor. Anda mungkin berasa malu untuk berjumpa doktor kerana STI, tetapi ingatlah bahawa mereka profesional (dan sudah melihat semuanya!). Tugas mereka adalah untuk membantu anda berasa lebih baik dengan menjalankan diagnosis dan memberi rawatan yang diperlukan. Apatah lagi, vulva anda sememangnya berhak mendapat penjagaan yang terbaik!

Kutil kulit pada kemaluan

Kutil kulit pada kawasan kemaluan adalah perkara biasa dan selalunya ia kelihatan seperti bintil kecil yang berwarna merah jambu pucat hinggalah ke coklat gelap. [5] Kutil kulit ini tidak berbahaya dan tidak perlu dibuang atau dirawat.

Menangani ketulan atau benjolan pada vulva

Anda mungkin akan rasa tertekan apabila menyedari adanya ruam atau benjolan pada atau sekitar vulva, sehinggalah anda mengetahui apakah puncanya – memandangkan semuanya berkemungkinan. Dalam keadaan ini, apa yang penting ialah  jangan cepat panik, sebaliknya bertenang dan cuba memikirkan apa yang sedang berlaku.
 
Tanyakan pada diri sendiri soalan-soalan mudah seperti: “Sabun apa yang saya gunakan untuk mencuci vulva saya?”, “bila kali terakhir saya bercukur?”, “adakah saya menggunakan pencuci pakaian yang berbeza?” atau “adakah saya mengadakan hubungan seks tanpa perlindungan baru-baru ini?”. Biasanya cela pada Zon-V anda akan hilang sendiri, tetapi jika ia menyebabkan kesakitan atau ketidakselesaan, usahlah terus bertahan dan berlengah lagi. Pergilah dapatkan nasihat pakar perubatan demi kebaikan diri sendiri.
 
Sekiranya anda mahu mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan kebersihan intim, singgahlah di halaman kami yang memaparkan artikel berkaitan keputihan.

Peringatan perubatan

Maklumat perubatan dalam artikel ini disediakan sebagai sumber maklumat sahaja dan ia tidak boleh digunakan atau disandarkan untuk sebarang tujuan diagnosis atau rawatan. Sila dapatkan nasihat doktor anda untuk bimbingan tentang masalah kesihatan tertentu.
 

[Rujukan]

Terus belajar