
22 Sep 2017
Menempatkan haid dalam budaya popular
Bayangkan: adegan bar dalam rancangan televisyen, apabila seorang lelaki berkata kepada rakannya, "Saya terdesak untuk membuang air kecil." Wanita di sebelahnya berkata, "Saya juga. Dan saya perlu menukar pad saya." Ini mungkin tidak akan berlaku, bukan?
Walaupun membuang air kecil dan datang haid ialah perkara semula jadi dan merupakan kegiatan harian yang normal, hanya satu daripada kenyataan tersebut mungkin akan didengari dalam skrip atau di skrin. Dalam budaya harian, kebanyakan perkara yang berkaitan dengan haid kerap diketepikan, tersembunyi dari pandangan, atau terus diabaikan.
Kami fikir sudah tiba masa untuk berubah. Kempen #BloodNormal kami ingin mengetengahkan perkara mengenai haid ke tempat yang terbuka. Untuk memulakan perbincangan, kami telah mencipta sebuah filem yang memberikan pendedahan tentang menstruasi seperti yang sepatutnya - lagipun, apabila ia dibincangkan secara lebih terbuka, tentunya ia akan menjadi perkara yang tidak terlalu tabu. Kami juga bekerjasama dengan sekumpulan individu yang berbakat dari seluruh dunia untuk membantu kami menyebarkan berita tentang kempen kami.

Satu tinjauan global yang kami jalankan baru-baru ini mendedahkan bahawa 37% peserta tidak pernah melihat adegan mengenai haid seperti yang dialami oleh mereka dalam filem, TV atau cerita rekaan, manakala 42% percaya bahawa ketidakwujudan haid dalam budaya popular adalah sesuatu yang tidak perlu.1 Adegan seorang watak wanita yang dikerat dua menggunakan gergaji (apakah kemungkinan ini akan berlaku?) lebih cenderung dipertontonkan berbanding dengan adegan wanita yang meminta tampon atau tuala wanita daripada rakan mereka (walaupun ini sesuatu yang setiap wanita pernah lalui). Adakah budaya harian telah mewujudkan kesan negatif dalam kehidupan sebenar dengan memberi gambaran yang salah tentang perkara normal kewanitaan?
Fakta Utama
37%
Mereka yang tidak pernah menyaksikan haid dalam budaya popular
49%
Percaya bahawa terdapat pandangan negatif berkaitan haid
56%
Remaja yang lebih rela dibuli daripada berbual mengenai haid
Jelas sekali bahawa budaya popular memainkan peranan dalam membentuk perkembangan seseorang remaja.
Kajian YouGov mendapati bahawa cara remaja menilai tubuh mereka adalah ia lebih cenderung (32%) dipengaruhi secara negatif oleh budaya selebriti berbanding bilangan purata (26%).2 Satu lagi kajian mendedahkan bahawa remaja yang menonton filem remaja lebih cenderung kepada sikap yang membias terhadap jantina dan stereotaip negatif tentang persahabatan dengan perempuan.3
Memandangkan betapa banyak pengaruh budaya popular boleh memupuk sikap dan stigma, adalah tidak menghairankan bahawa dalam kehidupan sebenar, 9 daripada 10 wanita menyembunyikan sepenuhnya fakta bahawa mereka sedang dalam haid.4 Berikut adalah beberapa perkara yang mereka lakukan:
- Sembunyikan produk sanitari dalam poket atau lengan baju
- Membawa beg tangan mereka ke tandas untuk menyembunyikan produk sanitari
- Mengelak daripada memakai pakaian putih/warna cerah
- Membatalkan rancangan dengan rakan/pasangan
- Mengelak sebarang aktiviti fizikal
Jika kita tidak menyaksikan perubahan pada pandangan negatif terhadap haid, maka masalah dalam masyarakat akan menjadi lebih buruk.
Dan apa yang membimbangkan adalah anak-anak remaja sering menanggung beban tabu yang merumitkan ini. Kajian yang sama mendapati bahawa 56% remaja lebih rela dibuli di sekolah daripada bercakap mengenai haid mereka dengan ibu bapa mereka (44%).5 Saffron Herndon, seorang pelawak berpotensi besar yang juga di ambang alam remaja,merupakan salah seorang daripada individu berbakat yang kami bawa untuk membantu kami menyebarkan berita tentang #BloodNormal. Dia berpendapat bahawa "jika kita tidak melihat perubahan pada pandangan negatif mengenai haid, maka masalah dalam masyarakat akan menjadi lebih buruk."
Individu seperti Saffron menunjukkan bahawa perbincangan mengenai haid tidak selalunya harus serius, literal, atau berunsur pendidikan. Sekiranya terdapat lawak tentang tandas, mengapakah tidak ada lawak tentang haid? Filem kerap menunjukkan detik tertinggi dan terendah dalam segala tahap kelahiran bayi, jadi mengapa tidak ada skrip untuk PMS? Sudah pasti pandangan buruk terhadap haid akan mula hilang apabila ia menjadi perbualan harian seperti kita berbual tentang mencukur, mandi, atau duduk untuk makan.
Jika anda seorang peminat siri televisyen Mad Men, anda mungkin mengingati adegan di mana Sally Draper mendapat haid pertamanya. Gambaran jarak dekat pada seluar dalam dengan kesan darah adalah detik yang jarang berlaku di TV dan merupakan langkah berani ke hala tuju yang betul. Dan ada episod dalam siri televisyen Girls ketika Jessa menyangka yang dia hamil apabila dia datang haid. Budaya popular sudah pasti memerlukan lebih banyak adegan seperti ini. Gambaran positif membantu menyingkirkan tabu, dan bekerjasama dengan individu yang bersemangat untuk melihat perubahan, kami berharap dapat membuka jalan yang lebih baik untuk generasi wanita masa depan.