#2 CARA UNTUK BUAL PERIOD DENGAN ANAK LELAKI

Pernah tak anak lelaki anda berasa malu apabila menyebut mengenai period? Atau mendengarnya aje membuatkan dia geli?

Sebab inilah ibu bapa memainkan peranan penting dalam bercakap mengenai topik period pada anak lelaki. Ini untuk memastikan mereka tidak merasa period adalah sesuatu yang memalukan dan seterusnya mereka akan mengejek atau membuli kawan perempuan lain. Semuanya akibat kurang pengetahuan. 

1. Ia sesuatu yang semula jadi!

Apabila anda bercakap mengenainya dengan anak lelaki anda, penting untuk anda membantu mereka memahami yang period merupakan satu perkara semula jadi yang terjadi kepada wanita. Ini kerana setiap wanita akan melaluinya. Ia bukanlah sesuatu yang pelik atau menggelikan. Period membuatkan seorang wanita itu lebih sihat. Sebaik sahaja mereka memahami perkara ini, mereka tidak lagi terikat pada stigma period yang memalukan. 

2. Ajar mereka untuk menghormati

Period bukannya mudah. Kadang-kadang ia diikuti dengan simptom-simptom lain seperti sakit perut, sakit kepala dan sebagainya. Bayangkan apabila tengah PMS, kena ejek pula dengan budak lelaki! Ish. Sebab itulah sebagai ibu bapa, bagus untuk kita ajar anak lelaki kita agar sentiasa sensitif, prihatin dan menghormati perasaan gadis yang sedang period. Jika anak lelaki diajar mengenai perkara ini sejak kecil, mereka akan membesar menjadi seorang yang lebih prihatin. 

3. Sedia untuk membantu

Bagi anak lelaki, jika mereka dilihat membeli pad untuk kawan wanita, ah musnahlah dunia mereka! Sebagai ibu bapa, anda boleh hilangkan persepsi ini dengan menggalakkan mereka agar sedia membantu apabila diperlukan. Apabila mereka didedahkan kepada perkara ini dari  kecil, mereka tidak akan malu apabila perlu membeli pad sekiranya terdesak. 
 
Dengan pendidikan yang betul dari  kecil, kita boleh membantu anak perempuan melalui period dengan lebih yakin. Jadi tunggu apa lagi, ayuh ibu bapa sekalian kita bantu anak-anak lelaki kita untuk lebih memahami period.