Imej empat fasa kitaran anda - Libresse

Setelah haid anda bermula, mengetahui apa yang berlaku dalam badan anda - dan mengapa - mempunyai pengaruh besar terhadap perasaan anda tentang haid.

Jadi, mari kita tinjau fakta tersebut. Haid anda, atau menstruasi, berlaku sekali sebulan. Haid biasanya bermula apabila anda berumur antara 11 dan 14 tahun, walaupun ia boleh bermula seawal lapan atau sembilan tahun, dan sesetengah gadis pula hanya mula datang haid apabila mereka mencecah umur 15, malah 16 tahun. Kedatangan haid adalah cara badan memberitahu anda bahawa ia sudah cukup matang untuk melalui kehamilan. Tetapi jangan risau, ia tidak bermakna anda mahu atau perlu hamil, ia hanya bermakna anda berupaya untuk hamil.

Haid adalah sebahagian daripada kitaran haid bulanan yang berlanjutan antara 21-35 hari, dengan tempoh purata selama 28 hari. Apabila haid baru bermula, ia akan mengambil sedikit masa sebelum ia mula menunjukkan satu corak kitaran yang teratur. Malah, pada permulaannya, anda mungkin mendapati bahawa tempohnya berbeza dan kedatangannya tidak kerap.

Ilustrasi kitaran uterus pada latar belakang berwarna merah jambu - Libresse

Jadi, apa itu kitaran haid? Pertama, rahim (atau ‘uterus’) anda menghasilkan selapis membran mukus - lapisan endometrium - sebagai persediaan untuk menerima telur yang disenyawakan. Kemudian ovulasi berlaku, iaitu apabila salah satu ovari anda melepaskan sebiji telur (atau ‘ovum’), yang kemudiannya bergerak sepanjang tiub fallopio menuju ke arah rahim. Ini mengambil tempoh beberapa hari. Dalam proses ini, jika telur bertemu dengan sperma, ia boleh disenyawakan, dan anda boleh hamil. Jika telur ini tidak disenyawakan, badan akan menyingkirkan telur tersebut, lapisan lendir dan darah, yang merupakan darah haid anda. Aliran darah haid bermula kira-kira 14 hari selepas ovulasi, dan mengambil tempoh purata selama 3-5 hari untuk tamat, dengan aliran yang paling banyak pada dua hari pertama.

Dan selepas itu seluruh kitaran bermula sekali lagi. Dan ia berulang kira-kira 400-450 kali (ya, betul), sehingga menopaus berlaku dalam lingkungan umur 50 tahun, apabila haid tamat selama-lamanya.

Dalam hari-hari dan minggu-minggu sebelum haid anda bermula, anda mungkin mendapati perubahan fizikal dan emosi. Ini dikenali sebagai PMS atau sindrom sebelum menstruasi (untuk memberi nama rasminya). Anda mungkin berasa kembung pada perut dan mual, payudara mungkin lebih besar dan anda mungkin mengalami cirit-birit. Anda juga mungkin berasa sedih, cepat marah atau mahu menangis. Semua ini adalah normal - ia tidak menyeronokkan, tetapi normal.

Apabila haid hampir bermula, atau semasa dalam haid, anda mungkin mengalami senggugut yang sederhana di bahagian bawah abdomen. Ini dikenali sebagai kesakitan haid dan lazimnya ia disebabkan oleh pengecutan rahim untuk melucutkan lapisan uterus. Sekali lagi, ini adalah sangat normal - namun demikian, jumpalah doktor anda jika kesakitan menjadi teruk atau berlarutan.

Jadi, begitulah - haid boleh merupakan satu cabaran. Tetapi anda perlu menyayangi diri anda (ada kalanya ais krim boleh membantu) dan ingat bahawa kesakitan dan emosi muram ini akan berlalu dengan pantas.

Terus belajar

Terus menerokai